Followers

Thursday, August 27, 2015

Perhimpunan Bersih 4 diteruskan walaupun jalan tutup, kata Maria Chin


Demonstrasi Bersih 4 akan tetap dilaksanakan, namun lokasi penganjuran demonstrasi berkenaan akan dimuktamadkan esok, susulan terdapat beberapa laluan dan jalan yang akan ditutup sebagai persediaan untuk menyambut Hari Merdeka hujung minggu ini, kata Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

Maria berkata, sebaik sahaja mereka memuktamadkan lokasi di kawasan sekitar Dataran Merdeka untuk demonstrasi pada 29 Ogos hingga 30 Ogos, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi jaminan keselamatan dan lalu lintas kepada mereka.

"Perhimpunan pada 29 dan 30 Ogos selama 24 jam itu akan diteruskan, tetapi akan berlaku beberapa penutupan jalan untuk persediaan sambutan Hari Kemerdekaan, kami ambil maklum dan akan bekerjasama dengan polis," kata Maria kepada pemberita selepas bertemu PDRM di Kuala Lumpur hari ini.

"Pertemuan hari ini bagus, kami berunding bagaimana untuk melaksanakannya dan polis berkata akan bantu kami dari aspek keselamatan peserta, bila kita dah tetapkan butiran, harap polis akan berikan kebenaran," katanya.

Jaminan daripada PDRM itu katanya adalah bagi membolehkan himpunan tersebut menjadi perhimpunan aman.

"Lokasi Bersih kita akan rancang semula dan kita akan selesaikannya esok," kata Maria.

Pihaknya turut berkata, tiada keperluan untuk gabungan 90 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mereka tidak akan memasuki kawasan Dataran Merdeka.

"Kami tidak memasuki Dataran Merdeka, kami hanya berada di persekitaran Dataran Merdeka dan sebelum sambutan Merdeka perhimpunan kami akan selesai," katanya.

Maria berkata, PDRM juga tidak memaklumkan kepadanya dalam pertemuan hari ini untuk mengubah lokasi perhimpunan ke stadium.

"Polis tidak maklumkan lokasi alternatif, sama ada di stadium, sejak mula kita kata di kawasan sekitar Dataran Merdeka," katanya.

Beberapa jalan utama di sekitar ibu negara dilaporkan akan ditutup secara berperingkat mulai hari ini sehingga Isnin minggu depan bagi memberi laluan kepada raptai dan sambutan Hari Kebangsaan pada hujung minggu ini.

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain dilaporkan berkata, penutupan jalan itu akan bermula pada jam 6 pagi.

Antara jalan-jalan yang ditutup termasuk Jalan Hishamuddin (Dayabumi), Jalan Kinabalu/Jalan Hishamuddin (Susur Bukit Aman), Jalan Lembah/Jalan Cenderasari.

Turut terlibat, Leboh Pasar Besar/Jalan Hang Kasturi, Leboh Ampang/Jalan Tun Perak, Jalan Dang Wangi/Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Kuching/Bulatan Dato Onn, Jalan Kinabalu/Bulatan Dato Onn, Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Hishamuddin/Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Parlimen/Bulatan Dato Onn (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), Jalan Dato Onn/Jalan Raja (Kelab Diraja Selangor) dan Jalan Mahkamah Persekutuan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, kementerian itu mendapati Bersih 4 mampu menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Beliau berkata Bersih 4 juga menyebarkan propaganda menghasut orang ramai yang bersifat negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah tertentu yang boleh mengundang bahaya.

Kementerian itu juga mendakwa pelbagai aktiviti Bersih 4 mendatangkan imej negatif terhadap negara ini, sambil menambah ia boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan, kemakmuran ekonomi, kedaulatan negara dan keharmonian kaum.

Bersih 4 sebelum ini dilaporkan akan menganjurkan perhimpunan selama 34 jam bertujuan menggesa pembaharuan institusi dan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Maria berkata mereka berjaya mengumpul dana lebih RM1.5 juta hasil sumbangan daripada orang ramai, dipercayai lebih 3 kali ganda daripada jumlah yang diterima untuk Bersih 3 pada 2012.

Perhimpunan Bersih tahun ini adalah yang pertama diadakan dalam tempoh 3 tahun, dengan yang kali terakhir diadakan pada April 2012 bagi memperbaharui sistem pilihan raya.

Perhimpunan sebelum ini yang diadakan pada 2007, 2011 dan 2012 menarik puluhan ribu rakyat Malaysia ke jalanan.

Perhimpunan pada 2012 berakhir dengan adegan keganasan polis dan penunjuk perasaan yang bertempur dan juga menyaksikan wartawan dikasari oleh pihak polis. – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.