Pemuda Umno akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan usul yang dibawa sayap parti berkenaan pada mesyuarat di peringkat bahagian sebelum ini, kata Khairy Jamaluddin.
Ketua Pemuda Umno itu berkata, pertemuan yang dijangka akan diadakan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi itu akan meneliti isu dana politik dan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Kita akan mohon berjumpa timbalan perdana menteri baru supaya perkara sama dapat kita sampaikan kepada kedua-dua pemimpin utama kerajaan, iaitu perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
"Ia berkenaan isu-isu dan pandangan dari akar umbi Pemuda supaya tindakan dapat diambil terhadap kerisauan dan keresahan mereka.
"Contoh isu, seperti mana kita tahu, berkenaan derma politik, persepsi rakyat, siasatan 1MDB dan sebagainya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Menara Dato Onn petang ini.
Khairy berkata isu yang akan dibincangkan bersama Najib dan Zahid bukanlah isu yang menjadi kerisauan Pemuda Umno sahaja tetapi ia juga menjadi polemik di kalangan anak muda.
Katanya, walaupun Pemuda Umno mahu segala isu yang melanda pentadbiran negara diselesaikan segera namun masa juga perlu diberikan agar penyelesaian dapat disempurnakan menerusi saluran tertentu.
"Kita akan terus memperkukuhkan lagi Umno dalam berdepan dengan pelbagai masalah. Pemuda akan komited menguatkan lagi jentera dan menguatkan parti.
"Kita juga mengambil ketetapan memberi masa untuk isu besar yang dihadapi kerajaan dan parti diselesaikan melalui proses tertentu.
"Ini semua isu yang bukan hanya dibincang di peringkat Pemuda, tetapi di kalangan rakyat, terutamanya pengundi anak muda Malaysia di luar parti," katanya. – TMI
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.