Followers

Monday, August 3, 2015

Nasihat untuk ahli Umno di negeri pembangkang

Mukhriz dedah rahsia bagaimana mereka ambil semula Kedah pru 13 dahulu



Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga menteri besar Kedah menasihatkan ahli Umno khususnya di negeri dikuasai pembangkang supaya benar-benar menjuarai rakyat dalam usaha mengembalikan negeri itu semula kepada BN.

"Seperti kami di Kedah, ketika kami kehilangan negeri ini pada PRU12, kami ambil pandangan daripada Terengganu yang berjaya dirampas semula daripada pembangkang dan dari situ kami benar-benar faham apa sebenarnya rintihan rakyat, juarainya dan kami tunjuk bagaimana nak selesaikannya.

"Kami bergerak seperti NGO dengan berkempen di sana sini dan respons kami terima begitu luar biasa di mana kami dapati memang banyak perkara rakyat tidak puas hati dengan kerajaan negeri.

"Saya bukan nak mengajar tetapi ingin berkongsi pengalaman, saya tahu situasi dan pecahan penduduk di Selangor dan Kedah berbeza namun mungkin ada sedikit iktibar untuk dicungkil dan dijadikan suntikan semangat," katanya.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertingi Umno menegaskan demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang Datuk Shamsuddin Lias, Naib Ketua Umno bahagian Tanjong Karang Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Ketua Pemuda Umno bahagian Tanjong Karang Maruwan Ahmad.

Mukhriz juga menasihatkan ahli Umno yang hilang jawatan atau tewas dalam pilihan raya umum (PRU) supaya tidak kecewa kerana segala yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.

Apa yang penting, katanya, ialah mengambil iktibar daripada setiap kegagalan atau kekalahan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.