Followers

Wednesday, August 12, 2015

Mesyuarat Dipanggil W/Azizah, Dibatalkan Tergesa-gesa Kerana DAP Tidak Mahu.. Posted by Ibnu Hasyim

PAS tak rasa terpinggir, hubungan dengan PKR masih baik -Mahfodz

SHAH ALAM: PAS menafikan ia dipinggirkan daripada sebarang program anjuran parti pembangkang sebaliknya ia tidak menyertai program diterajui DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB).


Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Mahfodz Mohamed menegaskan PAS sememangnya mengambil pendirian untuk tidak menyertai program pembangkang, sekiranya DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB) turut serta.
"Sebab DAP sudah menolak kita, begitu juga dengan GHB sudah keluar daripada PAS. Yang kita ada dengan pembangkang adalah PKR sahaja. Sebab itulah kita tidak bersama. 
"Jikalau yang memanggil kita adalah PKR (sahaja), PAS akan datang," demikian menurutnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Terdahulu sebuah portal mendakwa PAS mula 'keseorangan' selepas dipinggirkan apabila satu demi satu program besar yang dianjurkan pembangkang tidak lagi melibatkan mereka.
Malah keputusan PAS untuk tidak menyertai himpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada hujung bulan ini juga disebabkan parti itu akan menganjurkan himpunan Bersihnya sendiri.
Terbaru, PAS membuat keputusan menganjurkan himpunan Bersih mereka sendiri dan tidak akan mengerahkan ahlinya menyertai himpunan Bersih 4.0 yang dianjurkan pelbagai pertubuhan termasuk parti pembangkang.
PAS turut didakwa diketepikan dalam sekurang-kurangnya tiga program besar pembangkang seperti mesyuarat parti pembangkang pada 29 Julai, penyerahan memorandum sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Ogos dan himpunan Bersih 4.0 hujung bulan ini.
Mesyuarat pada bulan lalu itu dipanggil ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun dibatalkan secara tergesa-gesa kerana DAP tidak mahu menyertainya jika PAS ada.
Mengulas hal berkaitan, Mahfodz menegaskan hubungan PAS dan PKR masih berjalan dengan baik apatah lagi dalam mempertahankan kerajaan Selangor. Malah kedua-dua parti berkenaan juga mengadakan mesyuarat baru-baru ini, namun Mahfodz tidak menyatakan apa diperbincangkan kerana tidak hadir di mesyuarat berkenaan.
"Pada minggu lepas ada (mesyuarat antara PAS dan PKR). Yang hadir adalah setiausaha agung, timbalan dan naib presiden PAS. Mereka nyatakan (mesyuarat) itu pada mesyuarat AJK PAS Pusat pada 8 Ogos lepas. 
"PAS tidak rasa terpinggir sebab kami sudah biasa bersendirian. Jika semua sudah tidak mahu bersama dengan PAS, maka kita akan bersendirian. Yang penting kita tidak merasa terpinggir," terang Mahfodz.
Muktamar PAS Kali ke-61 yang diadakan pada Jun lalu menyaksikan parti berkenaan memutuskan hubungan langsung dengan DAP, akibat tekanan dan serangan berterusan dalam beberapa perkara.
Malah kerjasama di dalam Pakatan Rakyat (PR) hasil gabungan PAS-DAP-PKR akhirnya terkubur sebagaimana diumumkan pada awal bulan lalu.
 
Gerakan Harapan Baru (GHB) yang diterajui oleh pemimpin progresif PAS yang kalah pada pemilihan parti baru-baru ini juga merupakan haluan baru dalam pembentukan kerjasama parti-parti pembangkang.
  - AntaraPOS

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mesyuarat pada bulan lalu itu dipanggil ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun dibatalkan secara tergesa-gesa kerana DAP tidak mahu menyertainya jika PAS ada. 
 
Cuba fikirkan, mengapa jadi begitu, siapa ketua pembangkang sebenarnya?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.