Followers

Thursday, August 27, 2015

Kadir Jasin: Protes jalanan tak boleh jatuhkan Najib - Zulaikha Zulkifli



Tokoh Wartawan Datuk A Kadir Jasin berpendapat, sekiranya perhimpunan BERSIH 4 bertujuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, perkara itu tidak mungkin akan berlaku dalam waktu yang terdekat.

Beliau berkata, tindakan mengadakan protes di jalanan juga tidak akan mengubah kedudukan Najib sebagai pemimpin nombor satu negara.

"Kalau tujuan (perhimpunan) BERSIH harap untuk menjatuhkan Najib, ia tidak akan berlaku. Tunjuk perasaan, protes jalanan tidak akan mengubah Najib. Beliau tidak akan berhenti walaupun kita berpanas, berjemur, berpeluh menunjuk perasaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk '1MDB: Protes Rakyat atau Dewan Rakyat' anjuran Malaysiakini malam tadi.

Panelis lain diforum itu ialah bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, bekas timbalan menteri belia dan sukan, Gan Ping Sieu serta Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Selain itu, dengan nada sinis, bekas ketua pengarang kumpulan NSTP itu berkata, tidak pernah dalam sejarah negara ini di mana seorang perdana menteri masih lagi kekal berkuasa walaupun telah dihina.

"Tak ada perdana menteri dalam sejarah Malaysia dihina sedemikian rupa tapi masih kekal berkuasa. Jawapannya sangat mudah. Dia (Najib) ada seorang perdana menteri yang sangat eksklusif.

"Dia mungkin beritahu anda bahawa dia adalah seorang yang sederhana dan inklusif tetapi sebenarnya tidak. Di dalam hati kecilnya, beliau sangat eksklusif dalam kelompoknya," kata Kadir lagi.

Malah, Kadir berkata, Najib yang juga presiden Umno, dilihat sebagai seorang pemimpin yang tidak memerlukan rakyatnya.


Justeru itu, sama ada protes rakyat mahupun melalui Dewan Rakyat untuk menjatuhkan Najib, perkara itu dilihat sukar untuk dilakukan, kata Kadir.

"Kita kini berdepan dengan perdana menteri yang tak perlukan kita semua, (dan) yang hadiri (perhimpunan) BERSIH. Dia tak perlu kita pun. Jadi, secara kesimpulannya, sama ada protes rakyat atau Dewan Rakyat tidak akan boleh menjatuhkan dia.

"Dia sangat yakin dan ini boleh menunjukkan bahawa tidak akan ada undi tak percaya terhadapnya. Jadi, saya melihat apa yang berlaku tak ada kemungkinan untuk Najib berundur. Beliau akan kekal jadi perdana menteri sehingga pilihan raya akan datang.

"Saya rasa, beliau tahu kalau dia pergi sekarang, banyak masalah akan menimpa beliau. Kuasa, walau sedikit, ada kuasa adalah lebih berguna daripada tak ada kuasa," kata Kadir lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.