Followers

Friday, August 21, 2015

'Formula Dr M boleh diguna, elak mimpi ngeri'


Pembangkang mungkin keberatan untuk menyokong penyingkiran awal Datuk Seri Najib Razak kerana percaya mereka boleh menang andainya perdana menteri menerajui BN dalam pilihan raya umum ke-14.
Tetapi, kata aktivis Umno Shahbuddin Husin, ia boleh bertukar menjadi sekadar mimpi ngeri kepada mereka.

"Biar pun pembangkang boleh terus berharap untuk memenangi pilihan raya akan datang andainya Najib terus kekal sebagai perdana menteri, ia boleh bertukar menjadi mimpi ngeri kepada mereka kerana kuasa yang terlalu berpusat memberi kelebihan kepada si pemegang takhta.
"Jika Putrajaya boleh membuang Peguam Negara, melengahkan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), membubarkan pasukan petugas khas dan melakukan gangguan terhadap tugas SPRM, maka dengan kuasa yang ada, kemenangan pembangkang dalam pilihan raya juga tidak mustahil boleh ditahan daripada menjadi kenyataan," katanya dalam blognya hari ini.

Najib sedang menghadapi beberapa skandal termasuk deposit sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadi beliau, yang menurut Shahbudin boleh digunakan terhadap pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Sokong cadangan Dr M

Oleh itu, Shahbudin menggesa pembangkang menyokong saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya bergabung tenaga dengan beberapa ahli Parlimen BN untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Najib.

Mahathir telah meminta pembangkang membiarkan BN membentuk kerajaan baru bagi menggantikan pentadbiran Najib tetapi ia mendapat respons yang negatif.

Bagaimanapun, Shahbudin (gambar) mencadangkan kerajaan campuran atau kerajaan peralihan yang melibatkan semua parti, manakala Sabah dan Sarawak boleh dipertimbangkan lebih kuasa autonominya di bawah kerajaan baru itu.

Parti-parti pembangkang kini mempunyai 87 ahli Parlimen yang mungkin akan disertai oleh seorang lagi Ahli Parlimen bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang merupakan bekas pemimpin PKR.

Shahbudin berkata, ini bermakna hanya 24 lagi ahli Parlimen BN yang diperlukan untuk mencapai majoriti mudah terhadap Najib di Parlimen yang mempunyai 222 MP.

"Setelah pemecatan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, (Datuk Seri) Shafie Apdal dan beberapa menteri lain baru-baru ini, usaha mendapatkan sokongan 24 ahli Parlimen ini tidaklah mustahil sebenarnya jika betul cara runding dan tawar-menawarnya," katanya.

Tambahnya, dengan Mahathir sendiri menggesa pembangkang mengemukakan usul tersebut, ia secara tidak langsung bermakna bekas perdana menteri itu sudah sedia memberi sokongan dalam mendapatkan ahli Parlimen BN menyokong usul tersebut dan mungkin akan disokong oleh Umno Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas menteri Tun Daim Zainuddin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.