Followers

Saturday, August 15, 2015

Berkata benar atau berkhayal, kata KJ

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu, ahli di peringkat akar umbi tidak perlu takut menyuarakan pendapat mereka kepada pemimpin bagi memastikan parti itu terus mendapat sokongan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, langkah itu penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno ketika senario politik negara dan parti berada dalam tidak menentu kini.

"Jangan takut untuk menggunakan pentas mesyuarat perwakilan untuk menyatakan apa saja. Bukan untuk menyalahkan siapa-siapa, bukan kerana tidak sokong institusi parti tetapi kerana kita perlu bercakap benar.

"Kita perlu sampaikan suara rakyat terhadap parti dan kepada pemimpin kita. Kalau kita bisu dan tutup mulut, kalau kita buat seperti tidak ada masalah di luar sana, maka kita berkhayal dalam dunia kita sendiri," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Lumut malam tadi.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut adalah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata ahli parti perlu peka kepada kehendak rakyat yang mahu parti itu memahami serta menyelami kesusahan mereka hadapi.

"Umno perlu menang dalam PRU kerana sokongan padu rakyat dan kekuatan parti, bukan hanya sekadar menang di atas kelemahan pembangkang ... bukan hanya kerana kelemahan dan keburukan musuh, tetapi kerana kekuatan parti kita sendiri.

"Kalau kita bergantung harap kepada kelemahan musuh, maka ia tidaklah kemenangan sebenar. Kemenangan sebenar datang apabila parti kita kuat dan rakyat melihat kita lebih kuat," katanya.

Ujar Khairy lagi, kewujudan media sosial yang begitu pesat muktahir ini merupakan cabaran terbesar kepada ahli parti dan Umno.

"Zaman ini lebih mencabar bagi Umno kerana masyarakat khususnya orang muda, menerima maklumat daripada pelbagai sudut termasuk Facebook dan WhatsApp yang tidak dapat dikawal," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.