Followers

Saturday, August 15, 2015

Bahan kimia dalam rokok elektrik jadi pemangkin kanser - FMT Reporters


kanser_rokok_600Proses pengewapan cecair nikotin akan disedut pengguna dan wap nikotin mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik yang menjadi punca kanser.
PETALING JAYA: Asid yang terkandung dalam cecair nikotin dalam rokok elektronik menjadi pemangkin kepada kanser di dalam badan.

Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin berkata proses pengewapan cecair nikotin, yang dihasilkan daripada rokok elektronik mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik.

Katanya, walaupun dalam sukatan kecil juga boleh memudaratkan kerana proses resapannya ke dalam darah berupaya mengubah kandungan efisien dalam badan, kerana selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin.

“Malahan nikotin yang diwapkan itu sama dengan asid nitrik yang boleh menyebabkan kanser,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam meminta pengguna shisha dan vapor supaya berhenti menggunakannya buat sementara waktu sehingga keputusan mengenai risikonya diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Kementerian itu kini sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan rokok elektronik itu.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna vapor berdegil enggan berhenti menggunakannya kerana ia dilihat sebagai satu alternatif yang baik daripada merokok.

Bagi seorang juruteknik dari Manjung, Perak, Syafiq Ali, 24, misalnya, menjadi perokok tegar selama beberapa tahun kini berubah haluan kepada vapor.

Tidak terlalu ketagih dengan vapor kerana katanya ia tidak memberi kepuasan berbanding rokok biasa, Syafiq sanggup membelanjakan RM500 untuk membeli vapor hanya kerana mahu mengikuti trend baharu.

Dalam pada itu, vapor juga dijadikan alasan untuk berhenti merokok bagi Mohd Luqman Hashim, 26, dari Cheras.

“Saya sudah lima bulan berhenti merokok sejak menggunakan vape ini. Bagi saya vape lebih selamat berbanding rokok,” katanya.

Bagaimanapun seorang pengendali kafe di Klang, Selangor pula memberitahu vapor telah menyebabkan perokok tegar berhenti merokok dan ini turut diakui oleh ahli keluarga yang berterima kasih kepadanya.

“Saya didatangi ahli keluarga semata-mata untuk ucap terima kasih kerana anak mereka sudah tidak merokok. Saya tidak melihat vaporing sebagai satu masalah, apapun kita tunggu kuputusan kementerian,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Sugu kepada FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.