Followers

Friday, August 14, 2015

1MDB: Laporan dibuat SPRM terhadap KSN, ketua pengarah JPA..


Beberapa laporan dibuat orang awam hari ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal kerana menghalang penyiasatan.

Aduan tersebut difailkan mereka yang marah dengan tindakan yang diambil ke atas dua pegawai kanan SPRM – Pengarah Bahagian Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan pengarah komunikasi strategik Datuk Rohaizad Yaakob – yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Jumaat.

Ia susulan kritikan yang dibuat terhadap pihak polis berhubung siasatan polis ke atas kes dakwaan kebocoran maklumat dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan juga pendekatan lembut mereka kepada pemimpin pembangkang semasa kunjungan mereka ke ibu pejabat SPRM minggu lepas.

Arahan pertukaran itu dikeluarkan Zabidi dan alasan yang diberikan ialah "isu disiplin".

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mustafar Ali mengesahkan laporan yang dibuat, mengatakan agensi anti-rasuah itu akan merujuk kepada pihak perundangan sebelum mengambil langkah seterusnya.

"SPRM mengesahkan setakat ini tiada laporan dibuat oleh pegawai sendiri sebaliknya ia dibuat orang awam

"SPRM akan merujuk bahagian perundangan bagi tindakan selanjutnya berkaitan undang-undang terhadap kes salah guna kuasa dalam arahan pertukaran berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Mustafar dalam satu kenyataan terdahulu menafikan laporan berita mengatakan aduan tersebut difailkan pegawai SPRM sendiri.

Katanya, laporan itu tidak berasas dan dibuat untuk 'merosakkan' hubungan baik antara agensi kerajaan dengan pegawai tinggi kerajaan.

Kedua-dua pengarah itu, Bahri dan Rohaizad, sepatutnya melapor diri di JPM susulan pertukaran itu, tetapi arahan itu dibatalkan pada saat-saat akhir selepas Ali bertemu mereka pada Isnin.

Kedua-duanya serta merta dikembalikan ke pejabat asal masing-masing di SPRM apabila rakyat bangkit menyatakan kemarahan.

Bahri yang mengetuai pasukan siasatan khas menyiasat SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, minggu lalu, selepas menghabiskan dua jam disoal siasat polis, secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati atas tindakan polis dalam meneliti isu kebocoran itu.

Beliau membayangkan terdapat "tangan tersembunyi" dalam tindakan polis itu.

Beliau juga berikrar mencari orang yang mengarahkan serbuan di pejabatnya itu pada hari berikutnya.

Bahri adalah antara mereka yang disoal berhubung dakwaan kebocoran maklumat itu walaupun beliau pernah menegaskan tiada orang dalam SPRM terlibat dengan kebocoran itu.

Beliau berkata siasatan bahagian itu ke atas SRC International dijalankan "siang dan malam".

Beliau menegaskan tindakan pihak polis itu, yang juga termasuk satu serbuan ke atas pejabat timbalan pendakwa raya di SPRM, "mengganggu" siasatan badan anti rasuah itu dan merupakan satu pelanggaran terhadap Seksyen 48 Akta SPRM lapor The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.