Followers

Monday, July 6, 2015

'Saya menyesal puji Dr Mahathir'

 
 
Selepas bercerita panjang tentang latar kepada kemasukannya ke parti DAP semalam, bahagian kedua temu bual dengan Datuk A Samad Said hari ini mendedahkan pandangan beliau mengenai beberapa isu lagi.

Beliau yang mesra disapa sebagai Pak Samad berharap, lebih ramai aktivis sosial menyertai parti DAP.

Antara nama yang disebut ialah Adam Adli dan bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

Apakah komen Ambiga apabila beliau tahu Bapak masuk DAP?
 
Dia menghantar satu ayat kepada saya: Pak Samad I salute you. Itu yang dikatakannya. Sebenarnya ambiga pun dipujuk untuk menyertai mana-mana parti politik sebab dia sudah memiliki mitos. Dia sudah melakukan banyak perkara. Justeru sebagai individu saya rasa dia boleh menyumbang lebih berkesan jika menyertai politik.

Adakan Bapak mahu mempelawa Ambiga menyertai DAP?
Mengapa tidak? Saya mengalu-alukan beliau. Ambiga sangat bagus dan berpengetauan. Saya harap beliau menyertai DAP.

Bapak menggalakkan aktivis menyertai DAP?
 
Memang saya encourage, perlu ada aktivis. Saya harap Adam Adli akan masuk DAP. Kebanyakan pemimpon pelajar akan menyertai (parti politik) sebab saya fikir mereka boleh memberi lebih banyak sumbangan kepada generasi muda.

Jika mereka meninggalkan NGO mereka untuk menyertai DAP, mesti akan ada orang lain menggantikan (dalam NGO berkenaan).

Samad yang pernah menjadi Pengarang Berita Harian juga ditanya mengenai Pakatan Rakyat.

Pada pandangan Sasterawan Negara keempat itu parti pembangkang perlu disatukan dan menganggap konflik yang berlaku ketika ini bersifat sementara.

Alasannya, semua yang memimpin parti dalam Pakatan adalah individu yang "ada otak".

Apa pandangan tentang isu DAP putuskan hubungan dengan PAS?
 
Bapak baru lagi dalam politik. Itu saya pulangkan kepada Lim Kit Sianglah. Dia lebih tahu. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya bagaikan seorang 'pelajar' (dalam politik). Sekarang saya membaca tentang politik berbanding dulu banyak tentang kesusasteraan.

Setakat ini saya tak tahu tahu impaknya (DAP putus hubungan dengan PAS). Tentu PAS ada alasan tersendiri dan niatnya yang tersirat, manakala DAP ingin memperkekalkan jalannya yang utuh.

Jadi benda ini boleh terjadi hanya sementara kerana perbedaan sentiasa berlaku. Kadang-kadang kawan jadi lawan, lawan jadi kawan kerana tujuan dan iklim semasa.

Keadaan mungkin akan menjadi lebih jelas apabila pilihan raya (umum) semakin hampir. Saya fikir PAS tidak boleh bertahan jika bersendirian. Mereka perlukan rakan khususnya orang bukan Melayu. Jika berdiri (bersendirian) seperti sekarang memang tidak ada peluang dengan hanya bergantung kepada undi Melayu.

Betul PAS boleh dapat undi Melayu, tapi tidak sepenuhnya.

Apa pandangan mengenai pergeseran antara Datuk Seri Najib Razak dengan Tun Dr Mahathir Mohamad?
 
Saya tidak tersangka akhirnya 'puncak' dengan 'puncak' bertelagah tetapi ini tentunya bukan mainan. 
 
Saya bayangkan memang ada pergolakan dalam Umno sendiri, tetapi oleh kerana golongan ramai tidak ada media cukup, kita nampak yang menang hanya sebelah (pihak) sahaja. Orang lain memang tak boleh menang.

Apa pandangan peribadi Bapak terhadap Najib dan Dr Mahathir?
 
Saya masih belajar. Saya tak mahu sentuh tentang itu untuk masa ini. Saya kenal Dr Mahathir dan pernah menulis sebuah antologi untuk beliau - yang (sekarang) saya kesali kerana memujinya ke tahap yang tidak sepatutnya.

Saya pernah puji Dr Mahathir dengan harapan dia menjadi tunggak kuasa untuk pembaharuan, melakukan perubahan lebih awal, tetapi ia tidak berlaku. Saya pernah bersama dengan beliau dan (Datuk Seri) Mukhriz sebagai sasterawan, bukan siasahwan. Kami saling menghormati.

Apa pendapat tentang kepimpinan Najib?
 
Saya fikir setakat ini kacau. Ada beberapa masalah tidak terjawab, langsung tidak terjawab. Terbaharu ini kes pembelian harta tanah, pemberian BR1M di waktu tidak sepatutnya. Banyak soalan tidak terjawab. We are in murky situation.

Dr Mahathir menggunakan 1MDB untuk memaksa Najib meletak jawatan. Apa pendapat?
 
Sangar sukar, oleh sebab dia (Najib) di puncak, dia pemimpin Umno di puncak. Jadi gajah sama gajah, kita tengok akan nampak sebab masing-masing membuat pendedahan dan menguntungkan kita.

Adakah Bapak rasa Dr Mahathir akan berjaya?
 
Setakat ini kalau Dr Mahathir nak berjaya, dia sudah berjaya. 
 
Saya dengar banyak kali orang berkata, Najib akan letak jawatan minggu ini, bulan ini tetapi tidak. Maksudnnya apa? 
 
Dr Mahathir boleh becakap tetapi dia tidak boleh menyingkirkan Najib.


Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.