Hukum balik kampung adalah sunnah yang bertujuan menggembirakan hati ibu bapa dan keluarga.
Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, cadangan penasihat kewangan, Syed Abdul Aziz Al Qubra itu juga bertentangan dengan sunnah.
“Walaupun saudara ingin menasihatkan rakyat agar tidak menyalahkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau kenaikan harga minyak, namun saranan untuk rakyat tidak balik kampung agak dangkal dan jauh terpesong dari nilai-nilai agama serta syariat Islam,” katanya.
Menerusi Facebook, Dr. Mohd Izhar berkata, hukum balik kampung ketika raya bagi yang berkemampuan adalah sunnah.
“Ini kerana tujuan orang ramai balik ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bertujuan mengembirakan hati ibu bapa dan keluarga yang selama ini semua sibuk di perantauan,” jelasnya.
Personaliti televisyen dan radio itu bagaimanapun menasihat pengguna di laman sosial supaya tidak mengutuk pakar penasihat kewangan tersebut.
Dia yang dikenali sebagai Ustaz Izhar berkata, kemungkinan penasihat kewangan itu tidak membuat persiapan rapi sama ada menerusi kajian atau pembacaan sebelum muncul secara langsung di televisyen.
“Bersangka baik, mungkin dia tersilap cakap kerana berdebar-debar di hadapan kamera,” katanya.
Sementara itu, Syed Abdul Aziz menjelaskan, kupasannya tentang cadangan itu telah dieksploitasi dan disalah erti sehingga menjadi viral di laman sosial.
Katanya, cadangan itu adalah salah satu penyelesaian apabila statistik yang diberikan pengacara program Selamat Pagi Malaysia menunjukkan 53 peratus wanita akan membeli barang kemas sebelum Hari Raya hanya kerana tidak mahu ditegur ibu mertua atau saudara mara.
“Jika balik kampung terasa beban dengan terdesak untuk tunjuk barang kemas baharu atau kereta baharu, saya sarankan lebih baik jangan balik kampung, tol dan minyak pun dapat dijimatkan.
Itulah penjelasan saya,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.