Followers

Saturday, July 11, 2015

PR - KINI HANYA PKR DAN DAP

 

Majlis Syura Ulama (MSU) telah membuat keputusan membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

Walaupun sebelum daripada ini, pemimpin-pemimpin PAS berdolak-dalik mengenai isu pemutusan hubungan dengan DAP ekoran dari usul dari Dewan Ulama di muktamar yang lepas yang telah diterima sebulat suara tanpa bahas dengan alasan usul berkenaan belum muktamad kerana belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulama, kini segala-galanya telah selesai apabila MSU memutuskan untuk membatalkan hubungan kerjasama atau tahaluf siyasi dengan DAP.

Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha MSU, Nik Mohd Zawawi Salleh bertarikh 10 Julai 2015, beliau menyatakan MSU kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat, serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS yang menyebabkan MSU mengambil tindakan memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP.

Tetapi dalamasa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

Untuk ulasan selanjutnya sila rujuk ulasan GB di bawah ini.



Keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak Di Dalam Isu Hubungan Dengan DAP

Pas terus istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum. Oleh kerana itu, PAS konsisten meneruskan hubungan dengan semua pihak menerusi hubungan tahaluf siasi bersama parti politik dan NGO bukan Islam.

Dalam masa yang sama Pas tetap teguh berpegang dengan dasar-dasar Islam ketika berhubung dengan semua pihak.

Namun Majlis Syura Ulamak kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat, serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS. Oleh itu, Majlis Syura Ulamak memutuskan bahawa hubungan tahaluf siasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

Keputusan ini diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dilaksanakan menurut kesesuaian dan keperluan politik semasa.

Dato' Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh
Setiausaha Majlis Syura Ulamak,
24 Ramadhan 1436 / 10 Julai 2015


ULASAN GB

1) Akhirnya selesai sudah isu tahaluf siyasi dengan DAP. Keputusan MSU di atas memang ditunggu-tunggu. Dan yang pasti, keputusan itu "disambut baik" oleh UMNO yang memang mengharapkan PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

2) Tiada nas, bukti atau dalil dikemukakan di dalam kenyataan MSU berkenaan mengenai dakwaan DAP telah "campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS". Justeru itu keputusan itu dilihat lebih kepada menjaga airmuka "beberapa ulama" yang telah membuat kenyataan-kenyataan melulu sebelum ini yang meminta tahaluf siyasi dengan DAP dibatalkan atau disemaksemula.

3) Tindakan MSU itu juga mengesahkan tindakan-tindakan DAP yang memecat ahli-ahli PAS yang berkhidmat di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Dan bererti PAS Pulau Pinang sudah tidak layak untuk membangkitkan isu pemecatan di mahkamah.

4) Keputusan MSU itu juga mengesahkan Pakatan Rakyat telah dikuburkan.

5) Pengekalan tahaluf siyasi bersama PKR hanyalah untuk menyelamatkan kepentingan ADUN-ADUN PAS yang menjadi exco dan menyelamatkan kedudukan 5,000 ahli PAS yang sedang berkhidmat dengan kerajaan negeri Selangor.

6) PAS juga dilihat sanggup untuk menerima kekalahan di dalam pilihanraya terutama di pantai barat dimana para pengundinya adalah multi-racial yang sebelum ini pengundi bukan-Islam telah mengundi PAS di atas dasar semangat setiakawan di dalam Pakatan Rakyat.

7) Tindakan MSU itu juga menyebabkan ahli-ahli akar umbi PAS akan terus bersemangat menyokong penubuhan parti Islam yang baharu bagi memperbaharui jalinan tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR yang telah terjalin erat sebelum ini dan meneruskan kerja-kerja dakwah kepada rakan-rakan di dalam parti-parti yang ia bertahaluf siyasi dengannya. 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.