Followers

Wednesday, July 22, 2015

PKR perlu tegas nyatakan pendirian – Khalid Samad

 
 PKR perlu tegas nyatakan pendirian – Khalid SamadPETALING JAYA: Ketegasan dan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memilih sama ada menyokong Pas atau golongan ‘Pas Progresif’ diperlukan untuk memastikan pembangkang lebih mantap seterusnya memenangi Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, ketegasan PKR untuk menyatakan pendirian amat diperlukan dan kerana itu DAP dilihat seolah-olah ‘memaksa’.

“Pertelingkahan di antara Pas dan DAP yang dianggap tidak ada kena mengena dengan PKR adalah sebaliknya. Ia persoalan kemantapan dan potensi kemenangan PR yang jelas hubung-kaitnya secara terus dengan PKR! Oleh itu sikap yang tegas dari PKR amat sangat diperlukan dan itulah sebabnya DAP bagaikan ‘memaksa’,” tulis Khalid diblognya.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu menjawab persoalan yang dibangkitkan bekas Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar, yang mempersoalkan kemampuan Pas untuk mempertahankan kerusi pada PRU14 dan kritikan terhadap Gerakan Harapan Baru.

Khalid berkata, PKR tidak boleh mengambil sikap seperti ‘menarik rambut dalam tepung’ untuk menjaga hubungannya dengan DAP dan Pas kerana keadaan itu pasti menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pakatan pembangkang.

“Adakah suasana ‘menarik rambut dalam tepung’ merupakan keadaan dan suasana yang ideal yang ingin dikekalkan dan dibanggakan, di mana PKR ditempelak Pas berkali-kali dan PKR tidak bertindak balas?

“Walaupun rambut tidak putus dan tepung kononnya tidak berselerak tetapi adakah suasana sebegitu menambahkan keyakinan rakyat terhadap PR? Adakah memadai dengan PKR tidak bertindak balas, tidak seperti DAP dengan kaedah ‘tokong’nya, untuk meyakinkan rakyat bahawa PR merupakan gabungan yang mantap?,” soalnya.

Khalid berkata, rakyat Malaysia mengidamkan suasana saling menghormati, kejujuran dalam berpakat antara parti politik dan ia mampu direalisasikan dengan penubuhan parti baru.

“Saya tidak hairan DAP inginkannya dan dengan itu usaha ini disokong oleh mereka. Saya dan rakan-rakan juga inginkannya, bukan kerana DAP tetapi demi masa depan Negara,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.