Followers
Monday, July 6, 2015
Najib tidak perlu bercuti, dia tidak buat salah, kata Nazri Aziz OLEH V. VASUDEVAN
Datuk Seri Nazri Aziz mempertahankan bosnya Datuk Seri Najib Razak, dan berkata sekiranya Najib perlu letak jawatan bagi memudahkan siasatan, setiap pemimpin lain terpaksa bercuti sekiranya timbul tuduhan.
Datuk Seri Nazri Aziz mempertahankan bosnya Datuk Seri Najib Razak, dan berkata sekiranya Najib perlu letak jawatan bagi memudahkan siasatan, setiap pemimpin lain terpaksa bercuti sekiranya timbul tuduhan.
Tidak ada keperluan untuk Datuk Seri Najib Razak bercuti sementara siasatan berkait tuduhan pindahan wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke akaun peribadinya berjalan, kerana belum terbukti beliau melakukan sebarang kesalahan, kata Datuk Seri Nazri Aziz hari ini.
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata, kebimbangan pembangkang siasatan itu akan terjejas jika Najib masih memegang jawatannya, tidak berasas.
“Kenapa dia patut bercuti? Dia tidak buat salah pun. Anda hanya bercuti jika didakwa. Jika ini keadaannya, bila-bila masa kalau ada tuduhan, setiap pemimpin terpaksa bercuti,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, katanya, jika Najib didakwa atas apa juga kesalahan, beliau tidak ada pilihan tetapi terpaksa bercuti.
“Tetapi setakat tuduhan saja tidak cukup kuat dijadikan alasan bercuti,” katanya, dan menambah beliau tidak fikir perdana menteri akan campur tangan dalam siasatan itu.
“Mengapa dia perlu campur tangan? Dia pun minat untuk selesaikan isu itu. Lebih pun, dia terlalu sibuk menguruskan negara,” kata Nazri.
Terdahulu hari ini, PKR mencadangkan sebarang siasatan yang dijalankan terhadap dakwaan pindahan wang itu akan “membazir masa” jika Najib tidak meletak jawatan sebagai perdana menteri, sekurang-kurangnya sepanjang siasatan sedang berlangsung.
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang berkata, jika Najib terus memegang jawatannya, masyarakat sukar untuk percaya siasatan itu dijalankan tanpa bimbang dan berat sebelah.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail semalam mengesahkan pernah melihat dokumen seperti didakwa berkaitan pindahan dana berkenaan dan berkata pasukan petugas khas ditubuhkan terdiri daripada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia untuk menyiasat perkara itu.
Pasukan petugas khas itu menyerbu pejabat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd pada Jumaat dan memperoleh lebih banyak dokumen.
“Kita faham kuasa besar yang ada pada PM. Membazir masa jika peguam negara atau mana-mana pasukan petugas khas terus siasat 1MDB di bawah pengawasan Najib,” kata Chua dalam satu kenyataan, hari ini.
“Jika PM tidak ada apa-apa hendak disembunyikan, dia patut cukup berani untuk sekurang-sekurangnya letak jawatan sementara untuk membolehkan inkuiri bebas dilakukan,” katanya.
Bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik, menerusi akaun Facebooknya semalam, turut mencadangkan Najib letak jawatan sementara.
“Mungkin ketika siasatan dijalankan, Najib patut melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri buat sementara waktu, sehingga dia dibersihkan,” kata Rahim, menambah akaun perdana menteri turut perlu disiasat, jika Bank Negara dan Ambank mengesahkan kewujudannya.
Sementara itu, Nazri berpendapat Najib tidak perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ yang menyiarkan artikel berkenaan pada Jumaat.
“Tidak perlu untuk perdana menteri ambil tindakan. Jika dia ambil tindakan dia mesti saman semua akhbar yang melaporkan mengenai tuduhan palsu ini. Bukan hanya WSJ.
“Dia terpaksa saman semua orang. Dia akan dituduh memilih jika dia hanya saman WSJ,” katanya.
Jumaat lalu, WSJ berkata siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh pihak berkuasa Malaysia mendapati berbilion ringgit dipindahkan ke dalam akaun peribadi milik Najib.
WSJ dan laman pendedah maklumat Sarawak Report memetik dokumen siasatan 1MDB dengan kerajaan Malaysia, dengan Sarawak Report mendakwa peguam negara juga sedar akan maklumat tersebut.
Dokumen yang didakwa menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) bergerak di beberapa agensi kerajaan, bank dan entiti dikaitkan dengan 1MDB, sebelum berakhir di akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan, kata WSJ.
Ia berkata urus niaga terbesar adalah deposit sebanyak AS$620 juta dan satu lagi AS$61 juta di antara Mac 2013 dan Februari ini.
Urus niaga pertama dilakukan 2 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.
Sarawak Report berkata, RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang mengambil pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Urus niaga terkini, menurut laporan itu, adalah pada Februari tahun ini. Dokumen menunjukkan SRC International memindahkan RM10 juta ke dalam akaun di bawah nama "Dato' Sri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak" di AmPrivate Bank di Kuala Lumpur.
Najib sebelum ini menyalahkan laporan WSJ mengenai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menggambarkan ia sebagai “sabotaj politik”.
Dalam pos di laman Facebooknya pada Jumaat, Najib berkata serangan itu bermula apabila beliau enggan melaksanakan permintaan peribadi Dr Mahathir, menambah bekas perdana menteri itu “mencipta krisis” dengan melulu mendakwa RM42 bilion hilang daripada 1MDB.
Ini adalah kali pertama Najib, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dikaitkan secara langsung dengan kemelut syarikat itu, yang mengumpul hutang sehingga RM42 bilion dalam tempoh 6 tahun beroperasi.
See more at: http://www.themalaysianinsider.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.