Followers

Wednesday, July 22, 2015

NAJIB MULA RASA BAHANG KEJATUHAN 1MDB By canang


 
ALJIBBY MULA RASA BAHANG KEJATUHAN 1MDB
Pada musim bunga 2013, Song Dal Sun, ketua pelaburan sekuriti Hanwha Life Insurance 
berpangkalan di Seoul, duduk mendengar pembentangan seorang wakil perbankan Goldman Sachs.

Jurujual muda dari Goldman itu, yang terbang dari Hong Kong, cuba menjual bon yang dikeluarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat milik kerajaan Malaysia yang mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Ia amat menarik. Bon matawang dolar dengan tempoh matang selama 10 tahun itu menawarkan kadar faedah 4.4%, kira-kira 100 mata asas lebih tinggi daripada penghasilan bon dengan penarafan A- lain pada masa itu, seingat Song.

Namun Song, seorang veteran dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang kewangan, berasa ada sesuatu yang tidak kena. Dengan unjuran hasil yang begitu menarik, 1MDB sepatutnya boleh menjual nota itu kepada pelabur institusi menerusi tawaran global.

Jualan bon yang dilepaskan Song itu sebahagian daripada skandal yang menenggelamkan 1MDB, memeningkan pelabur, dan merencatkan usaha Malaysia menjadi negara membangun.

Najib yang juga menteri kewangan, merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB. Skandal itu menggegarkan pejabatnya, kerajaannya dan parti politik yang dipimpinnya, Umno.

Syarikat pelaburan negara yang disebut-sebut sebagai cetusan ilham dasar ekonomi Najib selepas mengambil alih jawatan perdana menteri, kini bergelumang dengan hutang sekurang-kurangnya sebanyak RM42 bilion.

Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas mentor politik yang kini menjadi pengkritiknya berkata, "sejumlah besar wang lesap" dari dana 1MDB.

1MDB menafikan dakwaan itu dan berkata, semua hutangnya diambil kira. Pejabat Perdana Menteri pula enggan mengulas rencana itu.

1MDB mencetuskan kontroversi sejak Najib mengambil alih dana harta seberang laut negeri Terengganu itu - Terengganu Investment Authority, atau TIA - apabila beliau menerajui tampuk pemerintahan negara pada 2009.

Bermula tahun ini dengan liputan blog Sarawak Report dan akhbar mingguan perniagaan tempatan The Edge, skandal itu semakin menghimpit kerajaan dengan suara menggesa pengunduran Najib mula kedengaran di samping peringatan mengenai perjuangan Malaysia menentang rasuah dan kekecewaan ekonomi.

Dr Mahathir, perdana menteri dari 1981 sehingga 2003, kini menuduh Najib "merampas" TIA daripada kerajaan negeri.

Namun, 1MDB menafikannya dalam satu kenyataan: Kerajaan negeri "mengundur diri dari TIA" selepas kerajaan persekutuan menjamin bon-bon TIA.

Bagaimanapun, perdebatan tentang 1MDB tidak tamat di situ.

Bermula Mac lalu, sewaktu tekanan awam semakin meningkat, ketua audit negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, bank pusat dan polis mula menyiasat 1MDB.

Natijah skandal ini menyebabkan ringgit merudum sehingga ia menjadi matawang dengan prestasi terburuk di Asia setakat 16 Julai, turun 8.1% berbanding dolar AS sejak awal tahun.
Rizab luar negara menyusut 20% pada Jun berbanding setahun lalu.

Pada 2 Julai, The Wall Street Journal (WSJ) memetik dokumen dari siasatan kerajaan, melaporkan yang penyiasat mendapati hampir AS$700 juta dalam bentuk tunai dipindahkan menerusi agensi negara, bank-bank dan syarikat berkaitan 1MDB sebelum akhirnya dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Wang itu termasuk dua urusniaga sebanyak AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang dibuat dalam bulan Mac 2013, 2 bulan sebelum pilihan raya umum yang mengembalikan Najib dan Barisan Nasional ke tampuk kuasa.

Dalam sebuah negara tanpa pendanaan kempen awam dan kekangan terhadap derma politik, aliran wang ini mengejutkan banyak pihak.

Sebelum pilihan raya umum 2013, pada 12 Mac, pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan pengerusi Aabar Investment Abu Dhabi pada masa itu, Khadem Al Qubaisi, menandatangani perjanjian membentuk satu usahasama.

Bulan seterusnya, 1MDB mengumumkan ia meraih AS$3 bilion untuk bahagiannya dalam usahasama itu.

"1MDB memilih penjualan secara peribadi bagi memastikan inisiatif ekonomi ini dapat disselesaikan tepat pada masanya," kata syarikat itu dalam k enyataan pada 15 April tahun itu.

Masa yang dipilih adalah kontroversial. "1MDB mungkin dibangunkan dengan salah satu matlamat utamanya bagi meraih dana haram bagi membiayai kempen pilihan raya BN," kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Satu kenyataan dari Jabatan Perdana Menteri menolak tuduhan WSJ, dan menyifatkannya sebagai "sabotaj politik" didalangi "sesetengah individu bagi menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi, memburukkan kerajaan, dan menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik".

Dalam satu kenyataan, 1MDB berkata ia tidak pernah "menyediakan sebarang dana kepada perdana menteri".

Skandal kewangan terbesar Malaysia ini menyorot perhatian terhadap beberapa watak yang pelbagai rupa - sebahagiannya mempunyai kaitan langsung dengan 1MDB, dan sebahagian yang lain pula tiada.

Menjadi ahli politik sejak berusia 23 tahun, Najib adalah anak sulung kepada perdana menteri kedua sejak kemerdekaan Malaya dari British pada tahun 1957, iaitu Tun Abdul Razak.

Beliau juga anak saudara kepada perdana menteri ketiga, Tun Hussein Onn. Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor juga adalah personaliti berpengaruh dalam gayanya tersendiri.

Bekas eksekutif di Island & Peninsular, sebuah syarikat hartanah, Rosmah sering disatirakan dalam media tempatan kerana gaya rambutnya yang besar dan minatnya terhadap barangan mewah.

Riza Aziz, anak Rosmah daripada perkahwinan pertamanya, rapat dengan Low Taek Jho yang dikaitkan dengan 1MDB.

Lebih dikenali sebagai Jho Low, beliau merupakan perunding beberapa urusniaga yang melonjak terkenal pada 2009 apabila menghiasi laman gosip.

Salah satu gambarnya mempamerkan lelaki dengan bentuk muka bulat seperti bulan itu berparti dengan sosialit California, Paris Hilton, dan menggendong sebotol champagne kristal.

Anak tiri perdana menteri itu mengasaskan syarikat Los Angeles yang menerbitkan The Wolf of Wall Street, filem tahun 2013 tentang gaya hidup mewah dan eksploitasi jenayah dalam dunia kewangan: dan Low sendiri mendapat kredit "penghargaan khas" di penghujung filem itu.

Berdasarkan laporan The Edge dan Sarawak Report, Low membantu mendirikan usahasama pertama 1MDB dengan PetroSaudi International.

Sentuhan glamor seterusnya datang daripada eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner, seorang Jerman kurus tinggi lampai bermata biru yang mengahwini pereka dan bekas model fesyen US, Kimora Lee Simmons, bekas isteri pengasas label muzik hip-hop New York iaitu Def Jam Recordings, Russell Simmons.

Pada September 2013, Rosmah dan Najib terbang ke San Fransisco bagi merasmikan pejabat baru dana harta luar negara Malaysia, Khazanah Nasional, dan Rosmah serta Simmons dirakam gambarnya bersama-sama.

Leissner, kini pengerusi Goldman Asia Tenggara, adalah muka tetap dalam urusan Malaysia lewat tahun 2000. Goldman membantu penyenaraian awal Maxis, syarikat pembekal perkhidmatan telefon mudah alih terbesar Malaysia milik hartawan, T Ananda Krishnan. – Bloomberg

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.