Antara intipati kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam mengenai dakwaan pengaliran masuk wang berjumlah hampir AS$700 juta ke dalam akaun peribadi Najib Razak oleh akhbar perniagaan berpengaruh, Wall Street Journal (WSJ) ialah mahukan siasatan dilakukan terhadap dakwaan itu.
Beliau berpendirian pihak berkuasa penyiasatan seperti SPRM, Bank Negara, polis dan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara perlu bertindak menyiasat dakwaan yang menarik perhatian rakyat, media antarabangsa dan menyentuh kepentingan awam itu.
Serentak dengan itu, oleh kerana tuduhan WSJ itu bersifat peribadi, Muhyiddin juga berpendapat wajar bagi Najib untuk memberikan penjelasan yang meyakinkan atau membuat penafian dan sekiranya yakin semua tuduhan itu tidak benar dan fitnah, maka perlu tindakan undang-undang diambil demi membersihkan nama Perdana Menteri serta mengembalikan kredibiliti kerajaan.
Tidak seperti kenyataan kebanyakan pemimpin lain yang menolak mentah-mentah dakwaan WSJ itu sambil berkata tidak mungkin begitu bodoh Najib membenarkan wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, kenyataan Muhyiddin menimbulkan beberapa perkara menarik yang antaranya:- -
Mahu dakwaan terhadap Najib itu disiasat oleh pihak berkuasa bagi menentukan kebenarannya, - Tuduhan keatas Najib adalah bersifat peribadi dan wajar bagi Perdana Menteri memberi penjelasan lebih meyakinkan atau membuat penafian, -
Mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ sekiranya tuduhan itu tidak benar dan fitnah. Hanya beberapa jam setelah Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu,
Peguam Negara Gani Patail segera tampil dengan mengatakan penubuhan pasukan khas yang diangggotai oleh SPRM, polis dan Bank Negara sudah pun melakukan serbuan di tiga premis yang didakwa menyalurkan wang ke dalam akaun peribadi Najib itu serta mengambil beberapa dokumen daripadanya.
Gani juga mengakui beliau turut melihat dokumen yang sama sebagaimana yang dipetik oleh akhbar WSJ itu.
Ini bermakna, saranan Muhyiddin bukan saja didengar, tetapi sudah dilaksanakan oleh Peguam Negara.
Walaupun Najib sudah menafikan mengambil sebarang dana daripada mana-mana entiti untuk kepentingan peribadinya sebelum ini, penafian itu sebenarnya tidak memadai.
Sebab itu Muhyiddin mengulangi keperluan Najib memberi penjelasan yang lebih meyakinkan.
Ini kerana penafian itu tidak disokong oleh apa-apa dokumen serta bukti dan perkara paling asas yang gagal dijelas atau dinafikan olah Najib ialah berkenaan beberapa nombor akaun yang didakwa miliknya di Ambank itu.
Apakah susah sangat untuk menjelaskan sama ada betul atau tidak akaun bank itu miliknya?
Hanya sekiranya yakin semua dakwaan itu tidak benar dan berupa fitnah, barulah Muhyiddin mencadangkan tindakan undang-undang diambil terhadap WSJ. Dalam masa yang sama,
Muhyiddin juga menyifatkan tuduhan terhadap Najib itu adalah bersifat peribadi.
Dalam mencari kebenaran kepada semua persoalan ini, adalah perlu Muhyiddin bergerak selangkah lagi dengan mengusulkan agar Najib mengambil cuti sehingga siasatan dijalankan oleh pasukan petugas khas itu.
Sudah tentu wujud kesukaran bagi SPRM, polis, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara menjalankan tugas tanpa sebarang gangguan sekiranya Najib masih ada sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan lantaran semua agensi penyiasatan itu ada kaitan secara langsung dengan kedudukannya sedangkan apa yang dituduh itu adakah bersifat peribadi.
Hanya dengan Najib mengambil cuti, semua tugas dan penyiasatan itu dapat dilaksanakan dengan adil, licin serta tanpa gangguan.
Dalam isu pembelian hartanah di Melbourne dengan harga lebih mahal oleh Mara Inc baru-baru ini, Pengerusi Mara Annuar Musa telah menunjukkan teladan yang terpuji dengan merehatkan sementara Mohamad Lan Alani serta Abdul Halim Abd Rahim yang merupakan Pengerusi dan CEO anak syarikat Mara itu sehingga siasatan selesai dijalankan.
Dalam tahun 1994 pula, Rahim Tamby Chik juga pernah direhatkan daripada jawatan Ketua Pemuda UMNO berikutan ada dakwaan rasuah dan isu peribadi yang dikaitkan terhadapnya. Selepas kesnya selesai dan namanya dibersihkan, beliau kemudiannya dikembalikan semula memegang jawatan tersebut.
Ini bermakna memberi cuti kepada mana-mana pemegang kuasa yang dalam siasatan bukanlah asing dan tidak pernah berlaku.
Meskipun sebelum ini sudah ada beberapa pihak mencadangkan agar Najib mengambil cuti untuk membolehkan siasatan berkaitan 1MDB dijalankan dengan lebih adil terhadapnya, tetapi sekarang ini adalah detik dan masa yang paling sesuai ianya diusulkan kembali.
Sudah tentu, sebagai orang nombor dua dalam parti pemerintah dan kerajaan yang sedang berkuasa, Muhyiddin adalah paling sesuai mencadangkan pengambilan cuti itu kepada Najib.
Jika tidak, sementara imej parti dan kerajaan terus terperosok di mata rakyat, siasatan yang dijalankan oleh pasukan petugas khas itu juga sentiasa diragui serta tidak diyakini. Ayuh Muhyiddin, majulah selangkah lagi!!
Posted & copy by RAKYAT MARHAEN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.