Followers

Sunday, July 12, 2015

Matlamat parti Islam baharu lebih besar daripada hudud, kata Mujahid

PAS Gagal istiqamah, "GAHARU" Teruskan Perjuangan Islam Yang Syumul

 
Parti politik baharu yang sedang dipertimbangkan untuk ditubuhkan sekumpulan pemimpin progresif PAS yang "disingkirkan" akan membuat pendirian Islam lebih besar daripada sekadar kanun keseksaan Islam atau hudud.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Islam mengajar umatnya mengekalkan keamanan, dan bukannya memaksa pelaksanaan undang-undang.
"Inilah sebabnya bekas Muryidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menangguhkan hudud. Beliau faham sangat. Beliau tahu isunya belum selesai.

"Apakah hudud segala-galanya? Ia hanya undang-undang jenayah,"
katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual di pejabatnya di Parit Buntar.

Ketika ditanya mengenai pendirian parti baharu itu mengenai hudud, beliau berkata, terdapat perkara lebih besar dalam Islam selain hudud, seperti mewujudkan kehidupan lebih baik dan selesa untuk rakyat.

"Untuk melakukannya bukan dengan memperkenalkan undang-undang jenayah Islam untuk membendung jenayah. Anda berjuang umpamanya untuk gaji minimum dan mengurangkan kadar jenayah.

"Semua itu perlu dijadikan sebahagian daripada agenda. Itu pendirian kami apabila berbicara mengenai hudud... sebab itu mereka anggap saya sebagai anti-hudud,"
katanya.

Mujahid, yang juga salah seorang pemimpin PAS paling dikenali dan terlibat dalam usaha antara agama yang menggalakkan perpaduan serta keharmonian antara orang Islam dan bukan Islam berkata, isu hudud perlu dilihat dalam kerangka undang-undang negara.

"Anda perlu mengimbangi antara rangka kerja perundangan dan hudud sebagai keperluan dalam kanun jenayah syariah. Untuk melaksanakan hudud, anda mesti lihat rangka kerja undang-undang. Untuk berbuat demikian anda perlu melalui proses demokratik.

"Bercakap mengenai proses, anda perlu tahu apa kuasa dan bidang kuasa yang ada. Negeri mempunyai kuasa tetapi ia terhad kepada Akta Mahkamah Syariah, yang menyatakan hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah negeri ialah penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan," katanya.

"Melihat kepada perkara ini, kita perlu berlaku sangat praktikal dalam mengendalikannya. Kita perlu melalui proses demokrasi dan menerima keputusannya, sama ada ia (hudud) boleh dilaksanakan atau tidak.

"Bagi 'Gerakan Harapan Baharu', kami melihat hudud dalam konteks itu. Bukan hanya retorik, perkara yang emosi atau sensasi," kata ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Dalam rang undang-undang hudud untuk meminda Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II, antara hukuman yang dinyatakan adalah pemotongan anggota badan dan merejam sampai mati.

Bagaimanapun, baru-baru ini dilaporkan rang undang-undang persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Dewan Rakyat untuk meminda Akta Mahkamah Syariah tidak termasuk semua hukuman itu.

Isu hudud adalah punca yang membawa kepada keruntuhan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Pada Mac, kerajaan PAS di Kelantan membentang dan meluluskan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri dan menimbulkan kemarahan DAP yang sentiasa menentang pelaksanaan hudud.

Selepas saling mengkritik, PAS ketika muktamar tahunannya “menyingkirkan” pemimpin progresif yang mesra PR, menggantikannya dengan kumpulan konservatif, sebelum memutuskan hubungan dengan DAP, yang seterusnya mengisytiharkan gabungan PR terkubur.

Ketika kumpulan progresif menuju ke arah cita-cita parti baharu mereka, Mujahid berkata perlembagaan parti baharu ini dengan jelas akan menentukan asas dan dasar Islamnya.

Mereka juga akan menghormati Perlembagaan Persekutuan, identiti kaum dan pelbagai budaya serta kepentingan bersama rakyat.

Beliau berkata, walaupun parti itu akan menggunakan Islam sebagai panduan ke arah pembangunan negara, ia akan menjadi lebih inklusif, seperti ditetapkan Islam. "Kami mahu menunjukkan Islam yang berbeza daripada PAS. Isunya sekarang ialah orang melihat PAS dan berasa parti itu tidak lagi mempromosikan aspirasi Islam,"
katanya. –TMI

Hadi: Hudud hanya dilaksana jika cukup syarat

HULU TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata hukum hudud bukan sesuatu yang menjadi keutamaan walaupun ia akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Menurutnya, hudud akan dilaksanakan terlebih dahulu kepada umat Islam sementara bukan Islam diberi pilihan (untuk menerimanya atau tidak).

"Bagaimanapun, ia mesti dilaksanakan mengikut proses demokrasi. Kita dahulukan yang mana dahulu, kita selesaikan masalah, atasi kemiskinan dahulu.

"Hukum hudud tidak boleh dilaksanakan, hukum mencuri tidak boleh dijatuhkan sekiranya gaji minimum tidak dilaksanakan.

"Sebagai contoh, gaji minimum kena ada, kalau dia mencuri sebab gaji tak cukup, ia (hudud) tak boleh dilaksanakan sebab tak cukup syarat nak laksana hukum ini, itu kena faham.

"Masalah pengangguran diselesaikan dulu baru (hudud) dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan ceramah Pra-Bubar Parlimen di Kuala Berang, di sini, semalam. - Bernama


ULASAN GB

Amat jelas sekali bahawa PAS tidak istiqamah. Dahulu Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa Hudud Bukan Agenda Utama. Tetapi kini PAS memperjuangkan hudud seolah-olah perjuangan Islam itu hanya hudud semata-mata sehingga sanggup memutuskan tahaluf siyasi bersama DAP.

Gerakan Harapan Baharu (GAHARU), akan meneruskan perjuangan Islam yang syumul. Bukan bererti GAHARU menolak hudud, tetapi berpegang kepada prinsip bahawa "Islam itu lebih besar daripada sekadar kanun keseksaan Islam atau hudud.".

Hal ini bertepatan dengan "fatwa" Ketua Ulama Sedunia, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, yang menyatkan 'sebelum Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam’.

Jelas tersurat, fakta ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.

Dalam ungkapan yang lebih jelas-seperti yang dinyatakan Qaradhawi- “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.


Kenyataan Qaradhawi ini secara tidak langsung menidakkan pandangan yang melihat 'perlaksanaan hudud' sebagai 'agenda teratas' dalam sesebuah negara Islam.

Sila rujuk: [VIDEO] Al-Qardhawi: Tegakkan Kehidupan Islam Dahulu, Bukan Hudud

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.