Followers

Monday, July 13, 2015

Insiden Low Yat simptom barah kronik, peniaga menipu, dilindungi rasuah dan samseng




BANGI, Isnin – Insiden yang berlaku di Plaza Low Yat pada hari Sabtu bersambung pada Ahad malam apabila ratusan pemuda Melayu dilaporkan berkumpul di luar bangunan itu sebagai sokongan kepada pembeli yang ditipu oleh peniaga Cina.

Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, kejadian ini hanya satu simptom kepada penyakit barah yang kronik iaitu perniagaan yang dijayakan dengan menipu, dilindungi rasuah dan samseng.

Katanya dalam satu kenyataan, anak Melayu terlibat tidak akan bertindak ‘melepaskan geram’ sedemikian sekiranya kita mempunyai pihak penguatkuasa yang berwibawa.

“Sudah jadi rahsia umum, peniaga cauvinis diaspora tidak berani diusik penguatkuasa, walau sekadar penjaja jalanan,” katanya mengulas ratusan pemuda yang berkumpul malam tadi di Plaza Low Yat sebagai tanda protes terhadap peniaga berbangsa Cina yang menipu pembeli.

Kejadian pada hari Sabtu itu berpunca daripada sikap penipu peniaga telefon bimbit jenama Oppo berbangsa Cina, yang memberikan telefon ‘klon’ kepada seorang pelanggannya berbangsa Melayu, yang dikatakan berasal dari Kampung Baru Kuala Lumpur.

Setelah diperiksa, telefon baru itu bukan telefon ‘original’, lalu pembeli itu kembali ke premis untuk menuntut haknya setelah ditipu. Si pembeli kemudian mengambil telefon ‘original’ namun dituduh sebagai pencuri sehingga ditangkap oleh pihak polis.

Pelanggan itu bagaimanapun dilepaskan kerana didapati tidak bersalah mencuri.

Pada Sabtu malam, tujuh pemuda Melayu ‘menyerang’ premis kedai telefon bimbit itu dan pihak polis berkata, pemuda-pemuda Melayu itu akan disiasat atas kesalahan ‘merusuh’, sedangkan mereka berbuat demikian sebagai ‘tunjuk ajar’ kepada peniaga Cina yang menipu dan menganiaya pelanggan.

Tambah Ustaz Hazizi, pihak cauvinis diaspora telah melakukan pelbagai kesalahan dan provokasi terhadap Islam, Melayu dan Perlembagaan, tetapi mereka tidak diambil tindakan dan seolah-olah kebal di sisi undang-undang.

“Cauvinis diaspora inilah saban hari membuat provokasi; memperlekeh ajaran agama Islam, mempersenda budaya orang Melayu, mempersoal kedudukan Islam, Melayu dan institusi Raja dalam kenegaraan Malaysia, menghasut orang Melayu agar membenci mufti dan ulamak, dan sebagainya.

“Mereka juga terkenal mengotorkan dinding-dinding awam, papan-papan tanda, pintu-pintu premis perniagaan dengan iklan pinjaman “Along”, menggoda orang Melayu yang suka berhutang atau yang terdesak.

“Tetapi semua perangai jelik itu dan banyak lagi, tiada tindakan diambil oleh pihak penguatkuasa. Mereka seolah-olah kebal di sisi undang-undang.

“Hakikatnya mereka dilindungi oleh pengkhianat bangsa Melayu sendiri, yang menjual maruah bangsa untuk mendapatkan sedikit laba di dunia.

“Oleh itu tidak pelik jika rakyat mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Mengulas tindakan pemuda-pemuda Melayu yang menyerang premis telefon itu, Ustaz Hazizi berkata ia adalah tindak balas perasaan marah.

“Perbuatan memaki dan menghamun, hatta perbuatan ‘melanggar’ kedai Cina itu pun, tidak lain hanya tindak balas perasaan marah. Melayu memang terkenal dengan amuk. Tetapi marah orang Melayu ini, senang dipujuk. 


Lambat panas, cepat sejuk. Itulah masalahnya,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.