Followers

Thursday, July 2, 2015

Gabungan anak muda kecewa PR berkubur, desak tubuh pakatan baru Faiz Zainudin

 
adam-adli_pkr_600_1

Mereka menggangap PKR, DAP dan Pas terlalu ego dan telah menghancurkan harapan rakyat yang mahukan perubahan selepas PRU13.

KUALA LUMPUR: Gabungan anak muda mengutuk PKR, DAP dan Pas kerana terlalu ego sehingga menyebabkan kehancuran kepada Pakatan Rakyat (PR).

Jurucakap kumpulan itu, Adam Adli berkata, polemik politik PR telah membunuh harapan rakyat yang mahu melihat perubahan kepada pentadbiran negara.

Namun, katanya, harapan itu musnah kerana sikap terlalu ego tiga parti itu sekaligus memberi talian hayat kepada Barisan Nasional (BN).

“Polemik demi polemik melanda Pakatan Rakyat telah membunuh harapan rakyat. Anak muda berasa mual melihat parti-parti yang kononnya berpakat, tetapi gagal mengurus egosentrik lantas memberi talian hayat kepada kerajaan BN,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpu pada Khamis.

Sehubungan itu, Adam berkata, gabungan anak muda mendesak supaya gabungan pakatan pembangkang baru dan inklusif dibentuk bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur.

“Pakatan baru diperlukan untuk membela nasib rakyat yang kian terseksa dan menjadi mangsa kezaliman UMNO/BN,” katanya.

Seorang lagi ahli gabungan tersebut, Ahmad Syukri Ab Razak berkata, parti pembangkang sepatutnya malu dengan kehancuran yang berlaku dalam gabungan mereka sebelum ini.

Katanya, sikap terlalu ego kepada parti sendiri akhirnya mengecewakan 52 peratus pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Kita jemu melihat sikap ego kepada parti sendiri sehingga gabungan dipersia dan kepentingan rakyat diperjudi,” katanya.

Sehubungan itu, Syukri berkata, satu campur tangan pihak ketiga (anak muda) perlu diperhalusi bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada pembangkang.
“Cukuplah dari zaman kami kecil dulu kami lihat parti pembangkang, PKR, Pas, DAP buat keputusan dan hala tuju sendiri.

“Parti pembangkang tidak arif segala-galanya, mereka perlu pandangan dan teguran pihak ketiga dan kami mengambil langkah tersebut,” katanya.

Kumpulan anak muda tersebut akan mengadakan perjumpaan dengan PKR, Pas dan DAP dalam tempoh 14 hari bagi membincangkan cadangan penubuhan pakatan pembangkang baru.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.