Followers

Thursday, July 9, 2015

Dua kereta polis bertembung, suspek lesap


Dua kereta polis bertembung, suspek lesapBIDOR - Tiga anggota polis cedera manakala seorang lagi terselamat selepas dua kereta peronda bertembung sesama sendiri dalam usaha menyekat sebuah kenderaan suspek di Kilometer 68.5, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kenderaan peronda dari Balai Polis Bidor mengejar sebuah kereta Proton Saga yang melarikan diri dari sekatan jalan raya di Kampung Coldstream, di sini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kenderaan suspek melarikan diri dari sekatan itu dengan melalui jalan alternatif Kampung Jeram Mengkuang – Kampung Pasir menuju ke pekan Bidor.

“Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah membantu dengan menghalang pergerakan namun, suspek berjaya mengelak dan meloloskan diri.

“Bagaimanapun, kereta peronda dari Balai Polis Tapah yang dinaiki Koperal Mohd Nizam Mat Zin, 30, dan Lans Koperal Shazmi Johari, 28, yang berada di belakang suspek tidak sempat mengelak lalu berlanggar bahagian belakang MPV terbabit,” katanya.

Menurutnya, dua anggota iaitu Lans Koperal Mohd Aizat Zakariya , 26, dan Koperal Sokongan Mohd Noor Azah Mohd Nasir, 49, yang berada di dalam kenderaan itu dirempuh peronda dari Balai Polis Bidor menyebabkan mereka terbabas dan melanggar tiang.


“Dalam kejadian itu, Mohd Aizat cedera di bahagian belakang kepala telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut manakala rakannya, Mohd Noor Azad menerima rawatan di Hospital Tapah akibat sakit di bahagian dada.

“Manakala, pemandu dari Balai Polis Tapah, Mohd Nizam turut mengalami kecederaan ringan di kaki kanan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tapah manakala, Shazmi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Som Sak berkata, kesemua mangsa dihantar mendapatkan rawatan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya sedang giat mengesan kereta suspek yang meloloskan diri dari sekatan jalan raya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - SH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.