Followers

Sunday, July 12, 2015

Apa beza perjanjian penstrukturan air antara Azmin dan Khalid? FMT Reporters


azmin,air

Kerajaan Selangor diminta mendedahkan isi kandungan perjanjian air dengan Kerajaan Persekutuan kepada umum.

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor diminta supaya mendedahkan isi kandungan perjanjian penstrukturan semula industri air dengan Kerajaan Persekutuan.

Penyelaras Bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor, Khairoll Anuar Almegat berkata, isi kandungan perjanjian itu penting untuk pengetahuan rakyat.

“Dengan termeterainya perjanjian ini telah menjadi bukti bahawa selama ini rakyat Selangor telah dijaja dengan satu pembohongan terancang.

“Rakyat Selangor pasti masih belum lupa bagaimana isu pembinaan Loji Langat 2 dikatakan tidak diperlukan tetapi hari ini perkara sebaliknya berlaku”, katanya dalam kenyataan media.

Kerajaan Selangor dan Persekutuan menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama air pada Jumaat yang memberi lanjutan 60 hari kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan pengambil alihan syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Puncak Niaga Sdn Bhd.

Khairoll Anuar berkata, walaupun menyambut baik perjanjian itu bagi menyelesaikan masalah air di Lembah Klang, namun pengumumannya sedikit pelik.

“Sebelum ini, Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar dikatakan sebagai tunduk kepada UMNO/Barisan Nasional apabila berkeras mahu melaksanakan projek Langat 2 dan penstrukturan air ini.

“Khalid telah dipecat dan digulingkan atas tuduhan memperdagangkan dirinya kepada taikun belaan UMNO/BN termasuklah projek Langat 2 ini. Oleh itu, SAMM Selangor ingin mendapatkan penjelasan, apakah bezanya antara perjanjian Langat 2 Khalid dengan Langat 2 Azmin (Mohamed Azmin Ali) ini ?, katanya.

Dia berkata, jika alasan isu pemilikan tanah dan hak milik Loji Air Semenyih dan Bukit Nanas sahaja yang disandarkan selama ini, ia bukanlah satu alasan konkrit kerana isu itu boleh diselesaikan di meja rundingan bukan mengheret rakyat ke dalam drama perebutan kuasa sedikit masa lalu.

“Adakah Azmin juga telah menjual dirinya kepada Taikun UMNO/BN, ” tegasnya.

Isu pertikaian hak milik Loji Air Semenyih dan Bukit Nanas antara kerajaan Selangor dan Persekutuan menjadi punca penstrukturan air tertangguh walaupun perjanjian utama telah ditandatangani pada September tahun lalu, selain keengganan SPLASH menerima tawaran pengambilalihan oleh kerajaan negeri.

Baru-baru ini Puncak Niaga Holdings Berhad, pemilik SYABAS dan Puncak Niaga Sdn Bhd mengancam menarik diri daripada perjanjian air kerana pelaksanaan penstrukturan itu telah beberapa kali tertangguh.

Tiga syarikat konsesi air- ABBAS, SYABAS dan Puncak Niaga- telah menerima tawaran pengambilalihan oleh kerajaan negeri tetapi SPLASH menolak kerana tawaran yang dibuat dikatakan terlalu rendah.

Kerajaan Selangor menawarkan RM9.65 bilion untuk ambil alih empat syarikat konsesi itu, jumlah yang dibuat di bawah pentadbiran Khalid.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.