Followers

Monday, July 27, 2015

Ahli MT Umno desak KDN jelaskan langkah gantung The Edge

 
  Ahli MT Umno desak KDN jelaskan langkah gantung The EdgeAhli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini mendesak supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan dengan lebih terang punca 2 permit akhbar perniagaan The Edge digantung, serta mempersoalkan bukti kesalahan yang mereka lakukan.

Reezal bagaimanapun menghormati keputusan KDN tetapi berkata ia perlu difahami  rakyat supaya tidak timbul persepsi negatif kerana akhbar tersebut lantang mengkritik syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"The Edge mempunyai reputasi tersendiri. Ia akan menghasilkan pelbagai pandangan daripada orang ramai.

"Saya hormat keputusan tersebut, tapi saya desak penjelasan dengan lebih mendalam, jadi orang ramai dapat faham," katanya semasa ditemui semasa majlis rumah terbuka bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata pihak KDN perlu mengemukakan bukti mereka terhadap alasan penggantungan akhbar The Edge.

"KDN perlu jelaskan bahagian mana yang dipalsukan, bahagian mana yang mengelirukan dan bahagian mana yang membawa kebencian?" katanya.

Jumaat lalu, KDN mengumumkan keputusan menggantung penerbitan akhbar harian The Edge Financial Daily dan mingguan The Edge selama 3 bulan mulai 27 Julai.

Menjelaskan tindakan itu, KDN dalam sepucuk surat menyatakan liputan penerbitan itu mengenai 1MDB "memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau negara."

Tindakan KDN itu dikecam hebat pengkritik kerajaan yang menyifatkannya cubaan menutup maklumat disampaikan kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Media Group dan penerbit Ho Kay Tat berkata, mereka akan mencabar penggantungan itu di mahkamah dan akan memfailkan semakan kehakiman pada Isnin. – TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.