Followers

Tuesday, June 16, 2015

Tunku Ismail benar-benar menjadi ‘putera untuk rakyat’ oleh V Shuman

Nampaknya cabaran menteri pelancongan dan kebudayaan Nazri Aziz baru-baru ini tidak sedikit pun menghentikan putera mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim daripada terus menyuarakan pandangannya.

Dalam posting terbaru laman Facebook Johor Southern Tigers yang bertajuk “mesej untuk rakyat Malaysia”, Tunku Ismail membidas dakwaan yang dihalakan kepadanya, dan mengatakan beliau hanya memainkan peranan sebagai pemimpin kepada rakyat.

Nazri AzizNazri Aziz “Kebelakangan ini, saya hanya menyuarakan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda.

“Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri. Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?” soalnya.

Tunku Ismail kemudian membidas mereka yang metadbir negara, dengan berkata, “Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur.

Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat.

“Apabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia. Saya hanya mengingatkan para pemimpin negara ini bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, dan nampaknya oleh sebab itu saya diserang.”

Tunku Ismail membayangkan sebuah masa depan di mana semua orang mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka. “Namun, keadaan di Malaysia pada hari ini tidaklah begitu, menteri-menteri pantang ditegur.

Saya rela dicemuh untuk mempertahankan perkara yang benar.” Katanya lagi, beliau hanya perlu menjawab dengan Tuhan, sultannya dan warga Johor, dan “tidak akan menjalankan suruhan pihak lain seperti boneka.”

“Johor hanya mempunyai tempat bagi mereka yang mahu berkhidmat kepada rakyat, bukan yang mahu meraih undi demi kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Tunku Ismail berkata lagi, akan tiba masanya apabila warga Johor akan memutuskan sendiri apakah yang terbaik untuk mereka serta generasi seterusnya. “ Kita akan bersatu dan membuat keputusan tersebut sebagai Bangsa Johor, untuk menempa masa depan kita.


Nazri Aziz

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya berdiri untuk rakyat saya, bukan untuk merebut kuasa, bukan untuk menumbangkan kerajaan, tetapi untuk menjaga kesejahteraan rakyat saya.”

Beliau kemudian menegaskan hanya mengingatkan politikus tentang peranan dan tanggungjawab, dan tidak meminta sesiapa untuk meletakkan jawatan.

“Sekiranya perkara seperti itu pun anda tidak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombongnya anda.

Alhamdulillah, saya telah dikurniakan dengan kehidupan yang selesa. Kalau hendak diikutkan, saya boleh hidup dalam dunia saya sendiri tanpa menghiraukan permasalahan rakyat, tetapi saya di sini berdiri teguh bersama mereka.

“Jadi kepada mereka yang ingin mencemar imej saya dan menjadikan saya musuh awam nombor satu, sesungguhnya rakyat lebih bijak dan mampu menilai sendiri.

“Jangan gunakan saya untuk mengalihkan tumpuan daripada isu-isu nasional yang lain.

Negara ini memerlukan ahli politik yang bersih dan telus, yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan keikhlasan dan integriti.”

Posting itu sudah menjadi ‘viral’ di Facebook, dan kini mendapat 177,581 ‘like’, dan lebih 90,000 kongsian, setakat tengah hari tadi.

Pertembungan antara kerabat diraja dengan politikus yang angkuh mungkin akan menjadi lebih epik berbanding pertelingkahan antara Dr Mahathir Mohamad dengan Najib Razak.

Saya bukanlah seorang yang memuja kerabat diraja, tetapi rasanya saya akan menjadi peminat Tunku Ismail, jika beliau terus membela rakyat seperti kini.

Hanya ‘gergasi’ yang dapat berhadapan dengan kerajaan. Tunku Ismail sudah pun membalas cabaran Nazri.

Apa yang akan berlaku selepas ini? Adakah Najib sendiri yang akan masuk campur dan meredakan keadaan, atau terus membisu, seterusnya memberi kelebihan kepada institusi diraja. Giliran anda pula, kerajaan!

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.