Followers

Tuesday, June 23, 2015

Pemikiran politik multi-kaum - Oleh Saifuddin Abdullah


Pemikiran politik multi-kaum - Saifuddin AbdullahTAJUK artikel ini adalah berdasarkan cadangan saya di forum bertajuk “Dilema Kepemimpinan Politik Melayu” anjuran Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah (JCI) di Universiti Sunway, pada 17 Jun lalu. 

Ahli panel yang lain ialah Datuk Dr Vaseehar Hassan (Institut Kets de Vries) dan Dr Ahmad Farouk Musa (Islamic Renaissance Front) dan Prof Woo Wing Thye (JCI) sebagai moderator.
Pembentangan saya telah dibahagikan kepada tiga, iaitu pandangan alam, langkah ke hadapan dan pemikiran politik multi-kaum.

Dari segi pandangan alam, sebahagian orang Melayu masih bergelut untuk mempunyai pendirian jelas tentang identitinya dan interaksinya dengan "orang lain". Siapakah Melayu? Satu ketika dahulu, yang wujud ialah orang Pahang, Kelantan, Johor, dan sebagainya atau keturunan Jawa, Bugis, Minang, dan sebagainya, serta Orang Asal. Istilah “Melayu” datang kemudian. Perlembagaan Persekutuan mendefinisi Melayu, contohnya,

Melayu bermakna beragama Islam. Tetapi, Umno sebagai parti Melayu, menerima orang Kristian di Sabah sebagai anggotanya.

Adakah Melayu sebagai Muslim, melihat bukan-Muslim sebagai "kafir harbi" dan "kafir dhimmi" atau sebagai "warganegara sesaksama"?.

Kedua, pertembungan antara nilai tradisional dan realiti baru. Contohnya, dalam krisis Menteri Besar Selangor baru-baru ini, kepemimpinan tertinggi Pas kelihatan tidak memahami prinsip demokrasi dan Raja Berperlembagaan.

Ketiga, sebahagian Melayu belum meninggalkan zon selesanya dalam berhadapan dengan cabaran globalisasi dan hakikat Melayu sudah berperanan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Keempat, ketika Melayu dipilih sebagai pemimpin negara dan hak istimewanya dijamin Perlembagaan serta dimeterai melalui beberapa undang-undang dan dasar, namun masih ada yang hidup dalam ketakutan akan bayangan “orang lain”, sehingga muncul suara-suara yang mahu ditingkatkan perlindungan bagi Melayu.

Dan kelimanya, ialah salah tafsir tentang makna perpecahan sehingga mencampuradukkannya dengan hak individu untuk memilih sokongan terhadap parti politik.

Dari segi langkah ke hadapan, bagi saya, ia bukan soal “ketuanan Melayu”, tetapi adalah soal “ketuanan Perlembagaan”. Dalam hal ini, terdapat tiga isu, iaitu, memastikan Perlembagaan ditafsir dengan betul; semua undang-undang/enakmen adalah bertepatan dengan Perlembagaan; dan Perlembagaan tidak ditulis-semula melalui pintu belakang.

Seterusnya saya telah mencadangkan perlunya diwujudkan pemikiran politik multi-kaum yang matang.

Dr Ahmad Farouk Musa

BN diwujudkan sebagai parti payung bersifat multi-kaum. Tetapi, semua parti gabungannya adalah berasaskan-kaum atau didominasi kaum tertentu. Kecuali sejumlah kecil, kebanyakan aktivitinya adalah atas nama parti-parti gabungan, bukannya atas nama BN. Strukturnya memperlihatkan dominasi Melayu (Umno). Sekiranya Umno bekerjasama dengan Pas, manakala MCA, MIC, dan lain-lain tidak berupaya mendapatkan kembali sokongannya, maka BN akan menjadi lebih Melayu daripada multi-kaum.

PR cuba menjadi lebih rabun warna. PKR benar-benar multi-kaum. DAP berusaha menjadi kelihatan lebih multi-kaum. Tetapi Pas dengan hudud, menjadi semakin Melayu-Islam. Kini, PR telah mati.

Kedua-dua pengalaman di atas belum mencapai tahap pemikiran politik multi-kaum yang matang. 

Justeru, masanya telah tiba untuk pemikiran multi-kaum yang baru ini diwujudkan, sama ada dalam bentuk parti, NGO atau wacana. Ia mesti berdasarkan nilai-nilai pembangunan dan demokratik yang terangkum dalam Perlembagaan dan Rukun Negara. Nilai-nilai itu perlu diterjemah sebagai undang-undang dan dasar yang berasaskan integriti, kerangka governans baharu, inovasi demokrasi dan pemikiran progresif.

Kebetulannya, pada hari forum tersebut, Datuk Seri Nazir Razak mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah mengadakan beberapa perbincangan, termasuk dengan saya, tentang keadaan sosiopolitik dan ekonomi negara serta akan menubuhkan sebuah NGO.

Jadi, saya akhiri forum itu dengan menyatakan bahawa NGO baharu tersebut akan cuba menegakkan aspirasi multi-kaum yang matang itu. - SH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.