Followers

Sunday, June 14, 2015

PAS jangan berbelit, undur diri daripada kerajaan negeri, kata Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, kepimpinan baru PAS harus mengarahkan wakil mereka dalam kerajaan negeri mengundurkan diri rentetan usul memutuskan hubungan dengan DAP dalam muktamar.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, PAS harus jelas dan tidak perlu berdolak-dalik mendakwa usul berkenaan masih di peringkat perbincangan kerana muktamar sudah pun meluluskan usul itu tanpa perbahasan.

“Oleh demikian, kepimpinan baru PAS haruslah menyusuli usul mereka yang diterima tanpa bahas, dengan mengarahkan wakil kerajaan PAS mengundurkan diri.

“Adalah tidak logik kepimpinan baharu PAS masih cuba berbelit-belit yang mereka masih membincangkan usul memutuskan hubungan dengan DAP, bila usul ini 'diterima' tanpa bahas dan 'bukan dirujuk' oleh muktamar PAS.

“Perlu diingat yang kerajaan negeri Pulau Pinang masih stabil dan tidak terjejas tanpa penyertaan atau penglibatan wakil PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata keputusan 3 wakil PAS dalam kerajaan negeri, iaitu Mohamad Sabu, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Rosidi Hussain yang meletakkan semua jawatan mereka dalam kerajaan negeri Pulau Pinang amat disanjungi.

Katanya, langkah tepat dan bermaruah itu turut disusuli satu Jawatankuasa Ketua Kampung (JKKK) PAS di Pekan Darat, Seberang Perai yang turut meletakkan jawatan.

“Mereka rasa adalah patut dan bermaruah untuk mengundurkan diri daripada jawatan kerajaan negeri Pulau Pinang demi menghormati dan menegakkan usul tanpa bahas yang diterima dan diluluskan oleh kepimpinan baharu dan muktamar PAS.

“Exco ingin memuji dan menyanjungi pengorbanan ketiga-tiga pemimpin PAS dan JKKK Pekan Darat yang menunjukkan mereka lebih mementingkan maruah parti serta prinsip kerajaan negeri daripada memegang jawatan,” katanya.

Setiausaha agung DAP itu berkata, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Pulau Pinang mengingatkan kepimpinan baharu PAS wakil parti Islam itu dalam kerajaan negeri dilantik atas kesudian bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan negeri serta berikrar dengan setia menerima arahan serta melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri.

Katanya, keputusan memutuskan hubungan dengan DAP akan menyentuh prinsip itu yang mempunyai impak terbesar ke atas 4 wakil PAS yang merupakan ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

“Ini disebabkan mereka akan terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan ketua menteri dan juga Ahli Exco Kerajaan Tempatan Chow Kon Yeow.

“Oleh kerana kerajaan negeri memegang prinsip tata kelola atau urus tadbir kerajaan baik ini, barulah Pulau Pinang dapat menikmati kemajuan dan kemakmuran.

“Hanya pemimpin kerajaan negeri yang tidak memahami prinsip ini akan menyebabkan negeri yang dipimpin mereka terus mundur dan ketinggalan zaman,” katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.