Followers

Wednesday, June 24, 2015

Negara mungkin hadapi wabak denggi terbesar

 
 
Negara mungkin menghadapi wabak denggi terbesar pernah berlaku dengan lebih 40,000 kes dan 157 kematian dilaporkan sejak Januari tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata angka itu mengejutkan berbanding apa yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Jumlah kematian tahun ini berganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dan 30 peratus lagi kes dilaporkan, yang jauh lebih tinggi dari tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dengan media di ibunegara malam tadi.

Beliau berkata banyak kes baru yang dilaporkan tahun ini ialah jenis Denggi yang belum pernah berlaku sebelum ini.

"Dahulu, ia cuma demam denggi berdarah. Sekarang, denggi boleh menyebabkan kegagalan hati berfungsi, radang paru-paru, jangkitan otak. Tingkah laku virus berbeza sekarang," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai insiden 'sarung' di Hospital Sungai Buloh, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata para pelawat telah ditahan oleh pengawal keselamatan, bukan oleh pihak pengurusan hospital.

Bagaimanapun, beliau berkata pengawal tersebut telah diberi amaran dan latihan akan diberikan untuk membolehkan beliau memahami prosedur hospital.

"Pengawal keselamatan itu baru bertugas di hospital itu. Setiap tempat mempunyai garis panduan mengenai pakaian," kata beliau.

Media tempatan hari ini melaporkan seorang wanita telah ditahan oleh pengawal keselamatan di pintu masuk Hospital Sungai Buloh pada 16 Jun kerana memakai seluar pendek.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.