Followers

Friday, June 12, 2015

Masalah 1MDB selesai jika Najib letak jawatan, kata Dr M


Masalah 1MDB selesai jika Najib letak jawatan, kata Dr M Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menggesa Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan apabila mengatakan masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh diselesaikan jika perdana menteri itu berbuat demikian dan siasatan penuh dapat dilakukan.

Bekas perdana menteri itu berkata, siasatan tidak dapat dijalankan selagi Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB masih kekal berkuasa.

"Krisis ini boleh ditamatkan serta-merta jika perdana menteri meletakkan jawatan dan siasatan penuh boleh dibuat terhadap RM42 bilion yang dipinjam 1MDB.

"Selagi beliau masih kekal, tiada siasatan telus boleh dibuat," katanya dalam tulisan terbaru di blognya chedet.cc.

Katanya, laporan polis sebelum ini terhadap 1MDB dan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan kontroversi itu, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low jelas tidak membawa sebarang hasil.

"Individu yang membuat laporan pula diisytiharkan bankrap, rumahnya disita dan dijual, malah disiasat kerana pengubahan wang haram membiayai pengganas," kata Dr M merujuk kepada ahli Umno yang dipecat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Dr Mahathir berkata, Najib perlu berundur dan jika siasatan 1MDB mendapatinya bebas daripada sebarang salah laku, beliau boleh kembali semula sebagai perdana menteri.


"Jika tiada kesalahan jenayah dikenal pasti dan semua wang dapat dipulangkan, Najib boleh kembali semula sebagai perdana menteri dan memimpin Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang," katanya.

Katanya, krisis yang wujud sekarang disebabkan Najib "menubuhkan 1MDB, meminjam wang pada jumlah yang besar dan rugi berbilion ringgit".

Katanya, krisis bertambah parah jika Najib kekal menjadi perdana menteri dan BN kalah dalam PRU akan datang sehingga menyebabkan keadaan huru-hara di negara ini.

"Berdasarkan kepentingan dan keprihatinan rakyat terhadap kerugian yang dihadapi 1MDB, perkara ini tidak boleh dibiarkan. Pihak yang terlibat mesti disiasat dan jika didapati bersalah, mereka perlu dihukum.

"Kesannya mungkin terjadi satu krisis, tetapi wajarkah kita membenarkan pencuri mengambil berbilion ringgit hanya untuk mengelakkan krisis," katanya.

Najib dalam tulisan blog terbaharu menafikan duit 1MDB lesap dan menyalahkan Dr Mahathir kerana bercakap separuh benar, menyindir dan memutarbelitkan kenyataan hanya kerana mahu pandangannya dilihat sedap dan menarik.

1MDB kini sedang disiasat Bank Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan ketua audit negara selepas mencatatkan jumlah hutang RM42 bilion dalam tempoh 6 tahun sejak penubuhannya. – TMI

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.