Followers

Saturday, June 27, 2015

Kenapa Umno tangguh pemilihan (dan kenapa ia mungkin tidak)

 
Kenapa Umno tangguh pemilihan (dan kenapa ia mungkin tidak)Keputusan menangguhkan pemilihan parti dilihat boleh memberi ruang bernafas kepada presiden Umno supaya dapat berurusan dengan bahagian parti yang bersuara selepas diserang pemimpin terdahulunya yang masih dihormati, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi penganalisis politik Ibrahim Suffian berpendapat, ia tidak akan benar-benar membantu Umno menangani cabaran yang dihadapinya sebagai sebuah institusi yang berdepan rakyat yang semakin bijak menilai.

Keputusan itu lebih berkaitan usaha memastikan kedudukan Datuk Seri Najib Razak kekal dalam Umno.

Hakikat yang Najib berjaya mendapatkan persetujuan anggota Majlis Tertinggi menerima keputusan itu mencerminkan kekuatan dalam parti, kata Ibrahim.

Ini kerana, beberapa orang daripada mereka sebelum ini dilihat mengambil pendirian berbeza dari Najib mengenai isu seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Menangguhkan pemilihan parti juga ada akibatnya, kata Dr Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang, kerana katanya ia boleh membuatkan musuhnya dalam parti berusaha lebih gigih untuk menyingkirkan beliau.

Majlis Tertinggi Umno semalam mengambil keputusan supaya pemilihan yang dijadualkan pada tahun hadapan ditangguhkan selama 18 bulan.

Ini bermakna, pemilihan itu mungkin akan diadakan pada pertengahan tahun 2018, waktu yang hampir sama dengan tarikh pilihan raya umum akan datang perlu diadakan.

Mengadakan pemilihan parti selepas pilihan raya umum akan menghilangkan sedikit tekanan terhadap Najib oleh penentang dalam Umno dan membenarkan beliau mengukuhkan kembali barisan bagi menghadapi pemilihan itu yang menjadi penentu masa depan parti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Umno bersama parti sekutu dalam Barisan Nasional yang lain hanya memenangi 47% undi popular.

Pemantau pilihan raya berkata, BN hanya berjaya terus berkuasa kerana terdapat kepincangan dalam populasi kerusi Parlimen.

Pengkritik BN, terutama dari pembangkang, menjangkakan gelombang undi protes terhadap BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Najib sendiri berkata, penangguhan itu bagi membolehkan Umno dan rakan komponen BN menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum akan datang.

Pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa parti agar tidak menangguhkan pemilihan itu.

Hakikat yang Najib berjaya meyakinkan Muhyiddin itu sendiri merupakan satu kejayaan, kata Ibrahim dari Merdeka Center, kerana timbalan beliau itu sendiri merupakan pengkritik 1MDB, yang merupakan cetusan idea Najib.

"Penangguhan itu juga akan menghalang rancangan Dr Mahathir yang bertekad mahu menyingkirkan Najib," kata Ibrahim memandangkan pemilihan parti merupakan salah satu daripada beberapa cara menyingkirkan presiden Umno yang sedang menyandang kerusinya.

Serangan bertubi-tubi Dr Mahathir mahu Najib disingkirkan menyebabkan wujud puak dalam parti itu, kebanyakannya di kalangan ahli biasa.

Tetapi, presiden itu mendapat sokongan hampir majoriti ahli parti peringkat bahagian parti di seluruh negara, yang merupakan cabang pertengahan parti yang penting.

Bagaimanapun, Ibrahim berhujah, penangguhan itu akan memberi kesan yang sedikit kepada sama ada Umno mampu atau tidak menghadapi cabaran getir kepada masa depannya sebagai sebuah institusi.

Parti itu seolah-olah masih mempunyai masalah menukar penampilannya untuk memenuhi jangkaan masyarakat berbilang budaya yang kini lebih bijak menilai, kritikal dan inklusif.

Tinjauan pada Januari oleh Merdeka Center menunjukkan, majoriti pengundi mahu parti politik yang menjaga semua rakyat Malaysia, bukannya mereka yang berjuang untuk satu bangsa atau agama sahaja.

Malah di kalangan orang Melayu sendiri, penyokong tradisi Umno, 67.5% daripada mereka memberitahu kaji selidik itu, mereka ingin sebuah parti yang mengambil berat hal ehwal semua rakyat Malaysia.

Ini di sebalik hakikat yang Najib dan Umno lebih cenderung kepada orang Melayu dalam penampilan dan retorik mereka.

"Parti berasaskan kaum BN semakin tidak dapat diterima pengundi," kata Ibrahim.

Dan cabaran untuk meyakinkan pengundi baru supaya mengundi Umno bukanlah sesuatu yang mudah dapat diselesaikan dengan tindakan menukar presiden parti. – TMI


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.