Followers

Thursday, June 25, 2015

Kedutaan M'sia nafi terima 7 nota bantahan

    Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia menafikan dakwaan kononnya menerima tujuh nota bantahan oleh Kementerian Luar Indonesia berhubung dakwaan tentera Malaysia menceroboh kawasan perairan Laut Sulawesi atau lebih dikenali sebagai Ambalat.

Duta Besar Malaysia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, pihaknya kesal dengan dakwaan itu kerana ia tidak benar sama sekali.

"Sama ada secara hubungan diplomatik mahupun hubungan ketenteraan, setakat ini kita tidak  menerima sebarang nota bantahan dan kerajaan Malaysia juga telah menafikan kononnya berlaku pencerobohan seperti didakwa oleh media Indonesia," katanya kepada pemberita  Malaysia selepas diwawancara oleh CNN Indonesia di Jakarta semalam.

CNN Indonesia dalam wawancara khas itu meminta Zahrain mengulas mengenai kononnya Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi ada mengeluarkan kenyataan bahawa republik itu telah menghantar tujuh nota bantahan terhadap Malaysia berkaitan dakwaan berlakunya pencerobohan oleh tentera Malaysia itu.

Beliau berkata, jika benar terdapat nota bantahan, sudah tentu pihaknya akan menyelesaikan masalah itu secara diplomatik.

"Malaysia dan Indonesia telahpun menubuhkan jawatankuasa khas bersama bagi membincang sebarang masalah yang timbul mengenai kawasan Ambalat itu dan jika benar berlakunya pencerobohan, masalah itu akan diselesaikan secara rundingan dalam jawatankuasa  berkenaan," kata Zahrain.

Sebuah akhbar berbahasa Indonesia baru-baru ini memetik Retno sebagai berkata beliau masih menunggu data terperinci koordinat daripada Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI)  mengenai dakwaan pencerobohan oleh tentera Malaysia itu.

Panglima TNI Jen Moeldoko pula dipetik sebagai berkata jika benar ia berlaku, beliau akan memberi peringatan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Moeldoko berkata pihak angkatan tentera kedua-dua negara sebelum ini telah bersetuju untuk menjaga keamanan dan tidak mahu menimbulkan sebarang konflik.
 
Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi atau Ambalat yang terletak antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah, Malaysia itu timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.
 
Peta itu menunjukkan kawasan sempadan maritim itu terletak dalam perairan Malaysia tetapi Indonesia membantah peta itu.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.