Followers

Tuesday, June 2, 2015

Kata dua Najib kepada kabinet tak boleh pakai Faiz Zainudin

 
najib,shahbuddin

Ketiadaan Muhyiddin dan Zahid Hamidi ketika Najib memberi kata dua kepada anggota kabinet tidak menggambarkan sokongan sebenar terhadapnya.


PETALING JAYA: Kata dua Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kepada anggota Kabinet tidak boleh dipakai kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir Mesyuarat Kabinet pada Jumaat lalu.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Husin berkata, kata dua Najib itu juga boleh dipertikai jika anggota Kabinet dibenarkan bercakap atau sengaja berdiam diri.

“Jika mereka diminta bercakap dan semua anggota Kabinet menyatakan sokongan mereka, maka barulah ia boleh dianggap pendirian rasmi ingin terus bersama dengan Najib dalam kemelut 1MDB ini tetapi kiranya sekadar diam dan tidak memberi respon terhadap kata dua itu, tafsirannya boleh jadi berbagai.

“Atau mungkin juga ada (Menteri Kabinet) yang beranggapan, “tak kuasa nak layanlah”,” tulisnya di shahbudindotcom.blogspot.com.

Najib dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia telah meminta Menteri Kabinet berundur jika tidak bersama beliau dalam usaha memulihkan 1MDB.

Shahbudin juga mempersoalkan mengapa kata dua itu diberikan ketika Muhyiddin tidak hadir dalam mesyuarat itu sedangkan Timbalan Perdana Menteri paling lantang mengkritik 1MDB.

“Kenapa Najib memberi kata dua itu ketika Muhyiddin terutamanya, tidak hadir dalam mesyuarat? 

Mungkin ada baiknya jika beliau berani mengulangi lagi kata dua itu ketika Muhyiddin hadir dalam mesyuarat kabinet akan datang,” katanya.

Katanya, bukan saja beberapa anggota Kabinet dan pemimpin UMNO yang tidak sebulu dengan Najib dalam menangani isu 1MDB malah Menteri dari MCA turut mendakwa isu tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet sebelum ini.

Shahbudin tidak menolak kemungkinan kata dua yang diberikan Najib itu menunjukkan beliau sudah terdesak dengan kritikan dan serangan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Najib pula, dengan mula memberi kata dua, isyaratnya tidak lain ialah beliau semakin terdesak dan kehilangan idea lain untuk menyelamatkan kerusi Perdana Menteri dan Seri Perdana yang didiaminya.

“Kata dua ini mungkin merupakan tanda-tanda awal meletusnya perang yang lebih besar dalam UMNO,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.