Followers

Tuesday, June 2, 2015

Jangan Perasan.. Mat Sabu Tak Sindir Hadi..

 

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyarankan orang ramai memahami keseluruhan ucapan Mohamad Sabu pada satu ceramah di Tumpat malam Jumaat lalu sebelum membuat kesimpulan, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, kelantangan ucapan timbalan presiden PAS itu mengenai kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan sesuatu yang berbentuk sindiran atau memperlekehkan kredibiliti presiden parti itu.

Menurut Salahuddin, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu, dalam ucapannya itu meletakkan satu konteks yang mana apabila PAS bersama dengan gabungan politik, barulah parti itu dapat memperluaskan wilayah dan pengaruhnya.

"Apabila buat satu kesimpulan mengenai isu yang dibawa seseorang dalam ceramah, kita harus baca keseluruhan ucapan. Kadang-kadang kita bercakap untuk memberitahu tentang satu gambaran atau senario politik yang besar, dengan memberi satu contoh beberapa individu.
"Mohamad bercakap tentang PAS boleh luaskan wilayah apabila kita berada dalam kesepakatan politik," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut perkara itu,Salahuddin berkata, PAS boleh menawan Kelantan apabila PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada era 80-an, begitu juga dengan Terengganu apabila bersama Barisan Alternatif.

"Kemudian, sekarang ini PAS boleh menang di Johor dan kita ada kerusi di Pantai Barat, apabila bersama atas nama Pakatan Rakyat (PR)," beliau dipetik berkata akhbar itu.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan, ucapan Mat Sabu itu bukan satu sindiran sekiranya seseorang itu membaca atau melihat keseluruhan ucapan itu.

Sebelum ini dilaporkan, Mat Sabu mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir tindakan presiden PAS itu yang mahu keluar PR.

"Pidatonya (Hadi) begitu hebat. Ceramahnya, kuliahnya, Rusila, kereta parking berbatu, jadi macam pekan sehari bila Tok Guru Hadi beri kuliah. Tapi bila pilihan raya umum, (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada Barisan Nasional).

"(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan PKR, dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat," katanya pada ceramah isu semasa PAS di Tumpat, Kelantan Jumaat lalu.

Turut hadir pada ceramah itu ialah Ahmad Awang yang akan menentang Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan PAS nanti.

Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan membawa PAS keluar daripada PR jika DAP mencetuskan provokasi ke atas parti itu selepas tidak bersetuju dengan usaha parti Islam itu melaksanakan hudud di Kelantan.

- tmi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.