Followers

Friday, June 12, 2015

Harun Din - PAS Tak Kejar Jawatan, Kami Hanya Cari Keredhaan Tuhan

 
KUALA LUMPUR 11 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menegaskan, pimpinan dan ahli parti itu berjuang dalam politik bukan ke­rana mengejar jawatan, sebaliknya mencari keredaan Allah.

Sehubungan itu, Haron berkata, Pas sama sekali tidak gentar dengan desakan bertali arus oleh DAP agar pimpinan dan ahli parti itu meletakkan jawatan di kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

“Secara umumnya masyarakat mengetahui bahawa yang berjuang dalam Pas bukan mengejar jawatan. Banyak yang kita lantik dan dipilih telah menolaknya. Kita berpolitik kerana mencari keredaan Allah, jawatan bukan matlamat, yang memegang jawatan adalah yang memegang amanah.

“Sekiranya Pas membuat keputusan mengarahkan semua ahli memegang jawatan supaya meletakkan jawatan, memang kita bersedia dan tiada siapa pun takut berbuat demikian, itu pendirian kita dari dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pimpinan DAP dilihat meningkatkan tekanan terhadap Pas agar ahli parti itu meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor ekoran usul daripada Dewan Ulama Pas agar parti itu memutuskan kerjasama dengan DAP tetapi kekal dalam pakatan pembangkang telah diluluskan tanpa dibahaskan dalam Muktamar Tahunan Pas ke-61 di Kuala Selangor awal bulan ini.

Mengulas lanjut, Haron menyifatkan desakan DAP itu sebagai tindakan gopoh berikutan usul Pas memutuskan hubungan dengan DAP masih belum diluluskan di peringkat Majlis Syura Ulama Pas mahupun Jawatankuasa Pas Pusat.

Katanya, meskipun usul ber­kenaan telah diluluskan tanpa bahas dalam muktamar, kata putus muktamad masih belum dicapai selagi tidak melalui dua badan ter­tinggi parti tersebut.

Jelas Haron, buat ketika ini, usul berkenaan masih belum diputuskan dalam peringkat Jawatankuasa Pas Pusat manakala Majlis Syura Ulama Pas pula perlu ditubuhkan terlebih dahulu memandangkan barisan lama ahli majlis telah dibubarkan semasa muktamar pada awal bulan ini.

“Sepatutnya DAP menunggu sampai keputusan muktamad dibuat oleh Majlis Syura Ulama, walaupun masih belum ada keputusan tetapi DAP beritahu seolah-olah sudah ada keputusan muktamad. Dia (DAP) tidak payah mengajar kita. Kita tahu apa yang kita hendak buat, tunggu sehingga sampai ada keputusan muktamad,” katanya.

Menurut Haron, DAP diingatkan untuk tidak terburu-buru kerana tidak semestinya usul berkenaan diluluskan dan begitu juga sebaliknya.

“Sedangkan DAP daripada awal memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi kita terima dan tidak bising pun, kemudian mereka putuskan hubungan dengan Pas di Sabah dan Sarawak, kita terima se­adanya dan tidak bertindak gopoh seperti DAP bertindak sekarang,” katanya. - utusan malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.