Followers

Wednesday, June 24, 2015

Azmin JELASKAN kenapa jumpa Sultan

 
Azmin JELASKAN kenapa jumpa SultanSHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengesahkan bahawa beliau sudah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 22 Jun (semalam) bagi menjelaskan keadaan semasa yang berlaku di Selangor.

Katanya, selaku Menteri Besar Selangor, beliau bertanggungjawab memaklumkan kepada Sultan Selangor tentang urusan kerajaan sebelum mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

"Untuk minggu ini, saya telah menghadap Sultan Selangor untuk memaklumkan antara lain kemajuan dalam usaha memuktamadkan Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Negeri Selangor.

"Pada kesempatan ini, saya juga telah memaklumkan kepada Tuanku Sultan tentang masalah dalaman Pakatan Rakyat di peringkat nasional.

"Saya memberi jaminan kestabilan dan keutuhan Kerajaan Negeri Selangor untuk terus fokus kepada usaha memenuhi aspirasi rakyat melalui penjanaan pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Semalam, laporan Sinar Harian melaporkan bahawa Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan tertutup dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan sekaligus membangkitkan spekulasi mengenai isu nasib dan masa depan kemelut PR yang bertelagah ketika ini.

Mengulas lanjut, Azmin berkata dalam pertemuan itu Tuanku Sultan mengambil maklum tentang penjelasan yang telah beliau berikan.

"Pesanan baginda ialah mahu Kerajaan Negeri Selangor terus stabil untuk membangunkan Negeri Selangor dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat," ujarnya.MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI. - SH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.