Wan Azizah akan diumumkan sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Dewan Rakyat, 18 Mei ini.
PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen sekiranya beliau menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei ini.
Beliau akan mengambil alih jawatan itu daripada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama tiga tahun kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya.
Pelantikan Wan Azizah itu akan diumumkan dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.
Jawatan itu bukan baru kepada Wan Azizah kerana beliau pernah menjadi Ketua Pembangkang pada 2008 di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sumber-sumber memberitahu FMT, Anwar berkeras mahukan isterinya bertanding di Permatang Pauh supaya jawatan Ketua Pembangkang kekal milik Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Oleh itu, PKR tetap bertegas mencalonan Wan Azizah bertanding di PRK Permatang Pauh walaupun dibantah Pas Permatang Pauh dan Pas Pulau Pinang.
Malah, terdapat ahli PKR sendiri yang membantah pemilihan Wan Azizah bertanding di Permatang Pauh.
Sekiranya Wan Azizah gagal mempertahankan kerusi yang telah menjadi milik PKR sejak 17 tahun itu, kemungkinan besar jawatan Ketua Pembangkang akan diserahkan kepada DAP.
Mengikut komposisi kerusi Parlimen, DAP lebih layak kerana memiliki kerusi terbanyak dengan 37 kerusi berbanding PKR hanya 28 kerusi.
Jika DAP diberikan jawatan Ketua Pembangkang, nama yang disebut-sebut paling sesuai ialah Setiausaha Agungnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Pas kemungkinan besar tidak setuju jawatan Ketua Pembangkang diberikan kepada DAP ekoran hubungan dingin antara dua parti itu sejak kebelakangan ini.
Sebagai jalan penyelesaian, jawatan Ketua Pembangkang akan diberikan kepada PKR.
Sekiranya Wan Azizah kalah pada PKR 7 Mei ini, anaknya Nurul Izzah (Ahli Parlimen Lembah Pantai) atau Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak) kemungkinan besar dipilih sebagai Ketua Pembangkang.
Berdasarkan kelayakan dan pengalaman, Azmin selaku Timbalan Presiden lebih layak berbanding Naib Presiden, Nurul Izzah.
Bagaimanapun, dalam PKR terdapat banyak penolakan terhadap Azmin selepas pemilihan parti tahun lalu.
Justeru, kemenangan PKR di Permatang Pauh bukan saja penting untuk Anwar mengekalkan legasinya malah bagi memastikan jawatan Ketua Pembangkang kekal menjadi milik parti itu dan keluarganya.
Ketua Pembangkang dilihat sebagai Perdana Menteri dalam penantian.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.