Followers

Tuesday, May 26, 2015

Surat Terbuka Kepada MAJLIS SYURA ULAMA PAS ( MSU )


Surat terbuka kepada Majlis Syura Ulama PAS (MSU).


Saya rasa terpanggil untuk memohon penjelasan jujur MSU berkaitan kekeliruan yang timbul berkaitan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat. 

Ini adalah kerana dalam satu forum yang diadakan pada 24 Mei 2015, seorang ahli MSU telah menyatakan bahawa MSU telah membuat keputusan berkenaan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat dan akan menyerahkan keputusan tersebut kepada Jawatankuasa PAS Pusat. 

Kebimbangan berkenaan perkara ini diperkuatkan dengan qarinah (circumstantial evidence) oleh kenyataan tokguru Presiden PAS yang dikasihi bahawa PAS bersedia memutuskan hubungan dengan DAP serta kenyataan Timbalan Mursyidul Am bahawa Presiden PAS telah fikir panjang berkenaan hubungan PAS dan DAP. 

Saya dengan rendah diri memohon penjelasan persoalan berikut:-
 

1) Apakah benar MSU telah mengadakan satu mesyuarat membincangkan isu kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat?

2) Jika soalan 1 positif, apakah keputusan yang dikatakan telah dibuat MSU; samaada MSU mahu kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat dikaji semula atau PAS mengambil ketetapan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat?


3) Jika betul memang wujud keputusan berkenaan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, bilakah keputusan tersebut akan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat supaya satu ketetapan boleh dibuat oleh Jawatankuasa PAS Pusat?


Saya amat yakin bahawa berdasarkan Perlembagaan PAS, kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat hanya boleh diputuskan dalam Muktamar PAS Pusat kerana ia badan tertinggi yang telah memutuskan penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat. 


Saya juga amat yakin bahawa majority ahli dan penyokong PAS serta rakyat masih berharap PAS terus berada dalam Pakatan Rakyat untuk bersama-sama menentang kezaliman dan penyelewengan UMNO Barisan Nasional dan membentuk sebuah kerajaan yang adil dan bersih di Persekutuan.


Maka, amat penting untuk kekeliruan yang timbul ini dijelaskan agar ahli dapat terus bekerja menentang UMNO Barisan Nasional tanpa pemikiran positif kami terganggu. 


Satu jaminan yang konkrit amat diperlukan dalam suasana nyawa UMNO Barisan Nasional sudah berada di hujung tanduk.



Sekian, terima kasih.



~Faiz Fadzil~25 Mei 2015

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.