Followers

Thursday, May 14, 2015

'Sirip pengimbang kiri helikopter rosak'

 
 
Laporan awal nahas helikopter di Semenyih mendapati pesawat mengalami kerosakan pada sirip pengimbang kiri selepas mendarat di sebuah sekolah di Muadzam Shah, Pahang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan dan pemeriksaan di kawasan pendaratan terakhir sebelum kemalangan berlaku pada 4 April lepas, mendedahkan masalah roda pendaratan kiri yang terbenam ke dalam tanah lembab ketika mendarat di padang bola sepak, Sekolah Kebangsaan Ladang Kota Bahagia, Rompin.

Katanya siasatan mendapati helikopter itu senget sehingga 13 darjah selepas roda pendaratan kiri terbenam ke dalam tanah sedalam 20 inci ketika mendarat di padang sekolah itu.

"Helikopter itu mempunyai dua sirip pengimbang iaitu kanan dan kiri yang terletak di ekor pesawat. Pendaratan terbabit memungkinkan bahagian ekor bawah sirip pengimbang di sebelah kiri dan sirip menegak disyaki mengalami kerosakan.

"Terdapat juga kesan kebocoran cecair berlebihan dalam lubang pendaratan kiri serta di atas rumput kira-kira 10 meter ke hadapan tempat pendaratan apabila juruterbang menaikkan semula helikopter untuk menerbangkannya," katanya dalam sidang media berhubung laporan awal nahas itu di kementeriannya di sini hari ini.

Nahas helikopter pada 4 April itu mengorbankan enam orang termasuk bekas menteri kabinet dan anggota Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Turut terkorban ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan seorang wanita Aidana Baizieva yang merupakan kenalan juruterbang.

Bagaimanapun, Liow berkata sirip pengimbang kiri helikopter itu masih belum ditemui dan meminta penduduk Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor menghubungi kementerian dengan segera sekiranya menemui sirip berkenaan.

Katanya sirip pengimbang itu penting untuk meneruskan siasatan bagi mengesahkan sama ada kerosakan berpunca akibat hentakan di atas darat atau kerosakan mekanikal.

"Ini bagi memastikan punca sebenar stabiliser (sirip pengimbang) terkeluar daripada badan helikopter. Kita perlu simulasi terperinci untuk kenal pasti lokasi dan punca kemalangan sebenar sirip dan mengetahui cara pesawat junam," katanya.

Dalam laporan awal itu, Liow berkata rekod audio yang diperoleh menunjukkan bahawa juruterbang berasa khuatir tentang kebocoran cecair hidraulik apabila helikopter itu berlepas pada 4.25 petang dari padang sekolah itu.

Sebelum itu, juruterbang itu menurunkan seorang penumpang iaitu anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam Datuk Wan Kadiri Wan Mahussin di padang sekolah itu. [Berita lanjut menyusul]

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.