Followers

Sunday, May 10, 2015

Semua Mata Kini Tertumpu Kepada Muhyiddin Setelah Kritik 1MDB

 

Penggunaan wang simpanan haji orang Islam dalam Tabung Haji (TH) sebanyak RM188.5 juta untuk menyelamatkan kemelut kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah meningkatkan taruhan politik ke atas Perdana Menteri Najib Razak. Dengan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menemui keberanian untuk mengkritik tindakan itu, adakah ini boleh dikatakan petanda pengakhiran karier politik Najib?

Antara pemimpin Umno lain yang mengikut jejak langkah Muhyiddin mengecam penggunaan wang simpanan haji orang Islam untuk menyelamatkan 1MBD adalah Dr Mahathir Mohamad dan anak lelakinya, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir (kiri). Muhyiddin memberitahu wartawan ketika lawatan rasmi terbaru beliau di Milan, Itali bahawa “1MBD adalah faktor terbesar yang membawa kekalahan BN di pilihan raya kecil Permatang Pauh. Saya tidak dapat menjelaskan skandal ini ketika berkempen kerana saya langsung tidak tahu apa yang perlu dikatakan.

“Rakyat mahu tahu, bukan sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad. Rakyat mahu tahu kenapa tiada seorang pun yang didakwa, kenapa lembaga pengarah 1MDB masih belum dipecat, dan mengenai kedudukan CEO dan perdana menteri sebagai penasihat.

“Situasi ini berbahaya dan ianya bukan saja memberi kesan buruk kepada rakyat, tetapi kepada Umno juga.” Sehingga kini, ini adalah pendirian paling jelas Muhyiddin terhadap kepimpinan Najib. Untuk memberi kritikan terbuka sebegitu, Muhyiddin pastinya berasa yakin terhadap kejatuhan karier politik Najib.

Dengan sokongan Mahathir dan menurut urutan beliau adalah orang nombor 2, Muhyiddin sudah pasti adalah PM-yang-sedang-menanti, dijangka menggantikan Najib. Persoalannya adalah bila? Bagaimanapun, Muhyiddin mempunyai satu isu yang sangat serius dengan rakyat Malaysia dan Malaysia sendiri jika beliau mahu menjadi perdana menteri kepada seluruh rakyat dan Malaysia.

Apakah pendirian politik beliau dan apakah keutamaan beliau jika beliau akhirnya berkuasa di Putrajaya? Ini adalah isu yang rakyat Malaysia mahu tahu. Muhyiddin pernah membuat kenyataan bahawa “Saya Melayu terlebih dahulu dan kemudiannya baru rakyat Malaysia”.

Ini adalah satu kenyataan serius yang perlu dipertimbangkan untuk ditarik balik oleh TPM. Seorang pemimpin sejati mestilah setia kepada negara dan rakyatnya. Bangsa adalah perkara kedua. Bangsa lain mungkin berasa sukar untuk menerima Muhyiddin sebagai PM jika beliau hanya mahu menjuarai kaum atau memberi keutamaan lebih mengatasi yang lain.

Mukhriz boleh dikatakan telah bertindak dengan tepat, dalam meminta Kementerian Kewangan (Najib juga menteri kewangan dan penasihat lembaga pengarah 1MDB) untuk menjelaskan terhadap harga murah tanah yang dijualnya untuk Tun Razak Exchange kepada 1MDB.

Mahathir dan pemimpin Umno lain sekarang telah mempersoalkan secara terbuka terhadap pembelian sekeping plot tanah oleh TH daripada 1MDB bernilai RM188.5 juta, dan kenapa tidak? 1MDB telah memperolehi tanah itu pada harga yang cukup murah daripada kerajaan - RM64 setiap kaki persegi (skp) pada 2011.

Dan TH membayar antara RM2,860 dan RM3,900 skp! Apa yang sedang berlaku? Adakah anda memerlukan otak seperti saintis roket untuk memberitahu anda apa yang sebenarnya sedang berlaku? Adakah ini bukan penyelamatan (terhadap kemelut 1MDB)? Mahathir juga telah menyifatkan urusniaga TH adalah penyelamatan, dengan mengatakan bahawa wang pendeposit Tabung Haji telah digunakan untuk menyelamatkan 1MDB.

Urusniaga ini telah bertentangan dengan laporan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh pasukan pengurusan risiko dalaman TH pada 9 April. Laporan itu telah mempertimbangkan projek ini sebagai “berisiko-tinggi, berdasarkan banyak faktor, termasuklah sektor hartanah yang suram sekarang yang dilihat tidak akan bertambah baik akibat dari permintaan yang menurun dan tinjauan makro-ekonomi yang mencabar.

Terdapat keraguan kecil sama ada Muhyiddin mendapat sokongan ramai terhadap kenyataan terbarunya mengenai 1MDB. Tetapi pastinya, rakyat Malaysia akan berasa lebih selesa jika beliau mempertimbangkan untuk meletakkan negara dan rakyat sebagai keutamaan, dan bukan bangsa, andai beliau menjadi perdana menteri baru.

Muhyiddin mesti sedar sekarang yang semua perhatian tertumpu ke arah beliau selepas kritikan terbuka beliau terhadap 1MDB, projek hasil buah fikiran ketuanya. Beliau seharusnya menebus balik persepsi negatif terhadap beliau selepas kenyataan “Saya Melayu terlebih dahulu dan kemudiannya baru rakyat Malaysia” beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.