Followers

Thursday, May 14, 2015

Selepas buku diharamkan, UM batal forum tampil Faisal Tehrani OLEH KC NAZARI



Novelis Faisal Tehrani kesal dengan pembatalan forum di saat-saat akhir kerana ia tidak sepatutnya menjadi satu masalah kerana ia dianjurkan oleh jabatan atau fakulti.

Faisal Tehrani kesal dengan pembatalan forum di saat-saat akhir kerana ia tidak sepatutnya menjadi satu masalah kerana ia dianjurkan oleh jabatan atau fakulti. –

Selepas empat buah bukunya diharamkan Putrajaya, novelis Faisal Tehrani berhadapan satu lagi cabaran apabila forum yang menampilkannya dihalang daripada berlangsung pada saat-saat akhir.

Sarjana hak asasi manusia itu, atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa, berkata forum itu membincangkan fenomena baharu dalam penerbitan buku tempatan dab sepatutnya berlangsung pada jam 2 hingga 5 petang semalam di Dewan Kuliah 1, Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (UM).

Namun, sekitar jam 12 tengah hari semalam, beliau dimaklumkan sahabatnya, pensyarah UM Dr Azmi Sharom, bahawa pengurusan tertinggi universiti mengarahkan forum itu tidak diteruskan.

Menurut Faizal, forum itu pada awalnya dirancang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tempat beliau sendiri bersyarah.

"Saya diminta oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM untuk tidak meneruskannya kerana pihak pengurusan universiti 'tidak selesa'.

"Saya pun tak selesalah dan menelefon kawan saya Dr Azmi Sharom," katanya sambil menambah bahawa Azmi selaku presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) bersetuju untuk menganjurkannya di UM.

Faizal kemudian meluangkan masa melayan kira-kira 50 orang hadirin yang sudah hadir ke tempat forum dengan menandatangani buku terbaharunya, "Aku ____, Maka Aku Ada!".

Azmi sewaktu dihubungi menyatakan kekesalannya berhubung pembatalan forum itu.

"Di mana-mana universiti, jikalau jabatan atau fakulti ingin menganjurkan sesuatu forum, ia sepatutnya tiada masalah.

"Ini adalah satu aspek kebebasan universiti dan berdasarkan aspek kebebasan ini sepatutnya tiada kebenaran perlu diminta," katanya sambil menegaskan forum itu adalah anjuran PKAUM dan hanya tempatnya disediakan oleh Fakulti Undang-Undang.

Forum tersebut pada asalnya dirancang dengan menampilkan Faizal sebagai moderator dengan tiga orang anggota panel.

Mereka termasuk penulis buku, "Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang", Zul Fikri Zamir; penulis buku "Cursing Malay" dikenali sebagai Mantot, dan seorang penerbit buku indie.

1 April lalu, beberapa hasil karya Faizal diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, “Karbala”, “Tiga Kali Seminggu” dan “Ingin Jadi Nasrallah”, atas‎ alasan berbahaya kepada ketenteraman dan keselamatan awam.

Faizal, yang juga pemenang Anugerah Seni Negara, berkata dakwaan KDN yang bukunya mengandungi unsur penyebaran ajaran Syiah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal adalah tidak masuk akal.

Pada 29 April lalu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak juga bertindak membatalkan satu forum anjuran Fakulti Sains Politik universiti itu, tanpa memberi sebarang sebab kepada mereka yang terbabit.

Forum bertajuk "Everything in Moderation" itu pada asalnya dianjurkan UIAM sendiri dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Britain.

Ia sepatutnya menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan pakar undang-undang Datuk Dr Shad Saleem Faruqi. – 14 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.