Followers

Sunday, May 3, 2015

Pengumuman Najib tentang rumah Felda bukan gula-gula pilihan raya, kata Hishammuddin OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tengah) berjalan bersama Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin (kiri) selepas melawat jentera pilihan raya parti BN bagi Rompin, Pahang hari ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tengah) berjalan bersama Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin (kiri) selepas melawat jentera pilihan raya parti BN bagi Rompin, Pahang hari ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini berkata harga RM90,000 bagi rumah generasi kedua berbanding RM125,000 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan dilaksanakan ke seluruh kawasan Felda seluruh negara, bukan setakat hanya di Parlimen Rompin.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan, termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

"Harga rumah generasi kedua Felda itu buat berperingkat-peringkat, soalan itu akan disampaikan kepada Datuk Razali Ibrahim...yang penting apa yang diharapkan, apa yang dibangkitkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, Datuk Hasan Arifin mendapat perhatian perdana menteri," kata Hisham, ketika sidang media di Rompin hari ini.

Menteri pertahanan itu berkata, pengumuman Najib itu juga bukan gula-gula untuk masyarakat Rompin bersempena PRK yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mei ini, sebaliknya, ia hanyalah kebetulan.

"Kebetulan ianya dibangkitkan ketika PRK. Pendekatan pembelaan kepada generasi kedua, ia tidak kepada Rompin semata-mata, tetapi semua, itulah asas perjuangan kita daripada arwah Tun Abdul Razak," katanya, merujuk kepada pengasas Felda, dan bapa kepada Najib.

"Saya rasa banyak yang disandarkan keputusan itu adalah kebajikan generasi kedua.

"Ia bukan sama ada hendak menang PRK atau tidak, itu mungkin perkara yang boleh membantu," katanya, dan menambah pengumuman Najib itu diharapkannya menjadi perkara positif bagi generasi kedua Felda.

Mengulas lanjut berkenaan strategi PAS yang bakal menentang Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan satu lawan satu dalam PRK Rompin, lebih fokus kepada kawasan Felda dalam kempen mereka, Hishamuddin berkata keputusan pilihan raya nanti bakal membuktikan sama ada kaedah mereka itu berkesan atau tidak.

"Kita tunggu kepada keputusan, sama ada kempen mereka berkesan atau tidak," katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri taklimat daripada jentera BN negeri Johor di Rompin turut mengingatkan agar parti itu tidak mengambil mudah PRK tersebut.

"Jangan ambil mudah Rompin, maklumlah hari bekerja lepas cuti panjang.

"Insya Allah, bila jentera bahagian, negeri bekerjasama, apa yang kita harapkan akan jadi satu kenyataan," katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini dalam satu kenyataan berkata, PAS mencabar Najib agar memberikan harga rumah yang sama kepada semua generasi kedua dan ketiga Felda sebagaimana yang diberikan kepada warga Felda di Rompin.

Beliau berkata tindakan memberikan harga lebih murah dan mekanisma lebih baik kepada warga generasi kedua Felda di Rompin menggambarkan sememangnya warga Felda terabai selama ini.

"Kalau bukan kerana adanya PRK Rompin, G2 dan G3 Felda di Rompin akan terus terabai. Ini membuktikan PAS membuat keputusan yang tepat untuk bertanding di Rompin kali ini," katanya.

"Rungutan harga rumah yang mahal dan mekanisma yang tidak membantu G2 and G3 memiliki rumah merupakan agenda utama dalam setiap dialog dengan warga Felda."

Beliau turut berkata, tanpa PRK Rompin, Najib tidak akan mengumumkan penurunan harga tersebut.

"Teapi hanya kerana bimbang dengan kebangkitan G2 dan G3 Felda dalam PRK Rompin kali ini, maka datangnya durian runtuh sedemikian daripada Najib," katanya.

"Sebagai perdana menteri, PAS menyeru Najib agar bertindak sebagai perdana menteri bagi seluruh negara. Jangan hanya kerana henak selamatkan kedudukan dan undi di Rompin, lalu kita isytihar pelbagai habuan hanya bagi kawasan PRK sahaja."

Hishammuddin bagaimanapun mempersoalkan kenyataan PAS itu, dan berkata sepanjang pentadbiran parti Islam dalam Pakatan Rakyat (PR) tersebut, tiada sebarang program yang dianjurkan mereka untuk membantu warga Felda.

"Tiada satu benda pun yang mereka cadangkan untuk Felda di negeri yang mereka perintah," katanya. – 3 Mei, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.