Followers

Wednesday, May 27, 2015

Nasib kakitangan MAS dapat perhatian anggota parlimen

 
Nasib kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor akan diberhentikan mendapat perhatian anggota Parlimen yang menuntut kepentingan pekerja terbabit diutamakan dalam menyelesaikan isu itu.

Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) (gambar) berkata pekerja terlibat perlu dibantu memandangkan mereka mempunyai keluarga dan komitmen hutang. 

"Puasa juga sudah dekat, hari raya Aidilfitri tidak lama lagi, jadi bagaimana nasib mereka ini jika tidak dibantu," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan agar pihak pengurusan memberikan pampasan sewajarnya jika terpaksa membuang pekerja berkenaan dalam usaha menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu.

Katanya, ia bagi membolehkan pekerja terlibat menyelesaikan komitmen mereka selain membantu memulakan hidup baru.

 

Johari turut mencadangkan pekerja-pekerja yang mempunyai komitmen pinjaman seperti Mara dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diberikan pengecualian bayaran sementara mendapat pekerjaan baharu. 

"Saya juga mencadangkan agar kakitangan yang terlibat dibenar mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan lebih awal bagi memulakan perniagaan atau membayar hutang sedia ada," katanya. 

Media tempatan sebelum ini melaporkan MAS bersedia membuang sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pekerjanya sebagai jalan terakhir untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Menyentuh isu sama, Hasbi Habibollah (BN-Limbang) pula memohon kerajaan memberikan tawaran terbaik sebagai jaminan masa depan kepada kakitangan terlibat.

"Kalau nak buat sesuatu pembaikan atau menyelesaikan masalah dalam memajukan ikon kebangsaan ini, diharap kerajaan bagi tawaran terbaik kepada pekerja MAS," katanya.

Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) pula berpendapat pelan pemulihan semula MAS seharusnya bermula daripada pengurangan perbelanjaan di peringkat pengurusan dan bukannya dengan mengurangkan jumlah pekerja.

"Potong elaun-elaun yang memewahkan pihak pengurusan, vendor serta food and beverage perlu dilihat semula," katanya. – Bernama, 26 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.