Followers

Monday, May 18, 2015

Misteri kehilangan Pandikar Amin terbongkar FMT Reporters

pandikar-chow-kitMenurut Pandikar Amin, beliau menyamar dan berjalan-jalan di Chow Kit, ke Masjid India ketika Ahli Parlimen lain berbahas di dewan.


PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pernah menghilangkan diri selama tiga minggu selepas dua hari Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-13 dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong pada 9 Mac lalu.

‘Kehilangan’ beliau itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan Ahli Parlimen, pegawai dan kakitangan Parlimen termasuk pengamal media yang membuat liputan.

Ia berakhir apabila Pandikar Amin kembali mempengerusikan Dewan Rakyat pada hari-hari terakhir persidangan berlangsung yang tamat pada 9 April lalu.

Dalam penjelasannya beliau berkata, tidak pergi ke mana-mana dan menasihatkan orang ramai jangan mendengar spekulasi berhubung dirinya.

“Saya menyamar dan berjalan-jalan di Chow Kit, ke Masjid India ketika kamu (Ahli-ahli parlimen) berbahas. Saya tanya keadaan di luar,” katanya seperti dilaporkan portal bnbnc.com.

Portal itu mendakwa, cerita Pandikar Amin ‘merajuk’ dan mahu meletak jawatan telah mula kedengaran beberapa hari selepas Persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Pandikar Amin dalam sidang media di Kota Belud pada Ahad mengaku beliau berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan isu-isu semasa.

Beliau bagaimanapun menafikan meletak jawatan seperti yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri dalam program Bicara Negara di Ipoh pada Sabtu.

Pandikar Amin mengaku kecewa dengan karenah Ahli Parlimen yang berbahas isu-isu remeh dan ada kalanya beliau ‘naik darah’ dengan gelagat Ahli Parlimen ketika membincangkan sesuatu isu.

Beliau juga tidak berpuas hati dengan petugas media yang dikatakan tidak mengikut protokol apabila menemubual Ahli Parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.