Mangsa banjir amat berharap kediaman kekal
yang dijanjikan akan dapat dipercepat memandangkan kebanyakan ahli
keluarga mereka yang berada di luar Kelantan akan pulang menyambut
lebaran.
Mereka amat berharap rumah kekal mereka akan dapat disiapkan sebelum 1 Syawal agar sambutan Hari Raya Aidil Fitri akan lebih bermakna.
Salah seorang mereka yang ditemui mengakui walaupun kediaman sementara agak selesa, tetapi amat berharap kediaman kekal yang dijanjikan akan dapat dipercepat memandangkan kebanyakan ahli keluarga mereka yang berada di luar Kelantan akan pulang menyambut lebaran.
Mohd Zain Ismail, 72, berkata beliau resah memikirkan bagaimana untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba Julai depan, kerana pastinya lima anak dan empat cucu akan pulang untuk menyambut bersama-sama.
“Rumah kontena ini buat masa sekarang selesalah kerana saya hanya tinggal dengan isteri dan seorang anak, namun ia akan menjadi masalah apabila empat lagi anak yang tinggal di luar Kelantan akan pulang menyambut Aidilfitiri,” katanya ketika ditemui Bernama.
Sementara itu, Kamaruzzaman Abdul Razak, 36, berkata beliau mula mendiami rumah kontena tersebut sejak sebulan lepas dan berharap agar dapat menyambut kedatangan 1 Syawal di rumah baharu.
“Tinggal di rumah kontena ini pun sudah selesa.. tidaklah panas sangat kerana dinding di dalam rumah dilapisi papan lapis sebagai penebat haba.
“Tapi seboleh-bolehnya dapatlah kami menyambut puasa dan hari raya dengan lebih baik. Buat masa ini kami terpaksa bergilir-gilir memasak di sebuah dapur besar,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan Kelantan dilaporkan telah pun meminta agar Kerajaan Persekutuan mempermudah pemberian kontrak pembinaan bagi menyegerakan proses pembinaan rumah kekal kepada mangsa banjir di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata langkah itu bagi memastikan mangsa banjir dapat mendiami rumah masing-masing secepat mungkin.
-BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.