Followers

Friday, May 29, 2015

Konsep ‘kepimpinan ulama’ PAS diperkenalkan Mat Sabu mungkin makan dirinya OLEH KC NAZARI

Konsep kepimpinan ulama diperkenalkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam parti itu mungkin akan memakan dirinya

Konsep kepimpinan ulama diperkenalkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam parti itu mungkin akan memakan dirinya.

Menjelang pemilihan PAS bulan depan, konsep “kepimpinan ulama” yang mengubah parti Islam itu mungkin akan memakan diri pihak memperkenalkannya termasuk Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Dalam ucapannya di Universiti Malaya baru-baru ini, Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata konsep itu dibawa sekumpulan pemimpin muda PAS 30 tahun lalu termasuk dirinya selepas melawat Iran.

Bekas ahli Parlimen selama tiga penggal itu berkata, konsep itu kini digunakan sesetengah pihak sebagai pelantar untuk mendapatkan kuasa dalam parti.

Katanya, ketika ini terlalu ramai individu yang cuba dimuliakan dengan panggilan "tuan guru" sedangkan sehingga sekarang hanya 2 individu layak menerima gelaran itu iaitu bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“(Bekas presiden PAS) Datuk Fadzil Noor sendiri menolak apabila beliau cuba digelar tuan guru.

"Sekarang ini bila dah dapat kepimpinan ulama, ada orang ambil peluang tunggang atas kepimpinan itu untuk ambil alih kepimpinan (parti).

“Sedangkan ilmu mereka kita dapat rasai kekurangan dan sebagainya," kata Mohamad semasa pembentangan tesis ijazah sarjana mengenai perjuangannya dalam PAS, baru-baru ini.

Mengikut trend di peringkat negeri dan kawasan, pemilihan PAS akan datang bakal menyaksikan golongan konservatif memenangi hampir keseluruhan jawatan dipertandingkan di peringkat pusat.

Kumpulan konservatif dijangka memenangi pemilihan PAS dan orang seperti Mohamad akan tersingkir.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa ahli PAS memilih kedua-dua presiden dan timbalan presiden daripada golongan ulama.

Dalam pemilihan kali ini, Mohamad dicabar Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini sangat popular sebagai ahli panel program Forum Perdana Ehwal Islam anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Penulis tesis Mohd Ikhwaniata Taib bercakap kepada tetamu pada pembentangan tesisnya di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Penulis tesis Mohd Ikhwaniata Taib bercakap kepada tetamu pada pembentangan tesisnya di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Penulis tesis tersebut Mohd Ikhwaniata Taib berkata, Mohamad mendapat inspirasi daripada pergerakan politik di Iran pada lewat 1970-an kerana beliau antara pemimpin pelajar terawal yang berpeluang melawat negara itu selepas revolusi dicetuskan ulama besar Ayatollah Ruhollah Moosavi Al Khomeini.

Semasa revolusi Iran pada 1979, Khomeini mengetuai perlawanan rakyat menjatuhkan diktator Shah Reza Pahlavi dan menubuhkan republik Islam.

"Mohamad dan Dewan Pemuda PAS pada masa itu membawa balik dari Iran konsep kepimpinan ulama. Beliau cuba membuktikan ulama Iran hebat berdepan Amerika, Perancis, Rusia.

"Sedangkan pada masa itu, ulama di Malaysia, adakah hanya mampu membaca doa? Oleh itu konsep kepimpinan ulama dijalankan di dalam PAS pada ketika itu," kata mahasiswa yang baru menamatkan pengajian ijazah sarjananya.

Katanya, kepimpinan ulama juga diperkenalkan PAS untuk mengimbangi pengenalan nilai Islam dalam pentadbiran negara dilakukan perdana menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pandangan Ikhwaniata itu, yang terkandung dalam tesisnya bertajuk "Perjuangan Mohamad Sabu dalam PAS 1978-2013", turut disokong penyelia ijazah sarjananya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Redzuan berkata, konsep kepimpinan ulama pada asalnya dicetuskan pengasas Harakah, Subky Abdul Latif, namun ia dilaksanakan Mohamad.

"Saya masih ingat lagi, Subky antara yang terawal berkata, kita mesti jadikan kepimpinan ulama sebagai satu model dalam PAS.

"Ia diikuti kumpulan lain yang merasakan ia wajar dilaksanakan untuk memartabatkan Islam. Jadilah PAS hari ini di bawah kepimpinan ulama.

"Dan terima kasih kepada Mat Sabu kerana meletakkan kepimpinan ulama dalam PAS," katanya. – 29 Mei, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.