Followers

Saturday, May 30, 2015

Khalid cadang dana awam biayai parti politik Khairil Ashraf

 
Khalid-Ibrahim_spr_rmk11_600

Pembiayaan awam itu dapat mengekang penyalahgunaan kuasa dan dana awam oleh parti politik yang memerintah pusat atau negeri.

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan sistem pembiayaan awam bagi parti politik dan calon pilihan raya diperkenalkan sebelum Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, kutipan daripada akar umbi oleh ahli parti tidak mungkin mencukupi bagi membiayai aktiviti rutin dan kos kempen pilihan raya bagi parti politik kecil.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, pembiayaan awam itu juga dapat mengekang penyalahgunaan kuasa dan dana awam oleh parti pemerintah persekutuan atau negeri.

Katanya, sistem itu telah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti Jerman, Sweden, Kanada, Australia, Austria, Sepanyol, Perancis, Jepun, Mexico dan Belanda.

“Ini sebagai salah satu kaedah untuk memastikan agar sistem politik dan institusi pentadbiran kita bebas sepenuhnya daripada gejala melobi melampau, korupsi dan kronisme.

“Maka, sudah tiba masanya bagi Malaysia yang bakal menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 memperkenalkan satu sistem pembiayaan mengguna pakai dana awam bagi semua parti politik yang sah berdaftar,” katanya dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, Malaysia boleh mengadaptasi sistem itu mengikut piawaian antara bangsa yang disesuaikan dengan budaya dan latar belakang negara ini.

Bagi tujuan itu, Abdul Khalid berkata, semua parti politik diwajibkan mendedahkan kepada umum dan melaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang segala butiran mengenai derma atau sumbangan daripada hartawan atau komuniti niaga.

“Jumlah pembiayaan dana awam kepada parti politik ini boleh ditetapkan sama ada secara sama rata atau tertakluk kepada undi popular atau juga jumlah calon bertanding,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.