Ramai daripada golongan akademik di negara
ini terikat dengan birokrasi menyebabkan kebanyakan mereka tidak
berani bersuara dan hanya menjaga kerjaya .
Kebebasan akademik merupakan elemen yang penting kepada institusi-institusi pengajian di Malaysia. Menurut Cary Nelson dalam bukunya, No University is an Island: Saving Academic Freedom, kebebasan akademik bermakna kebebasan inkuiri dan menyelidik, mengajar dalam universiti serta bersuara dan bertindak di luar kampus.
Ia boleh dilakukan tanpa ancaman hukuman, dibuang, dihalau, dipenjara atau dibunuh. Saya yakin kebebasan akademik merupakan asas untuk merealisasikan budaya ilmu, matlamat universiti, kesarjanaan dan daya intelektual pelajar dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam erti kata yang sebenar.
Di Malaysia, ramai daripada golongan akademik terikat dengan birokrasi sehingga menyebabkan kebanyakan mereka tidak berani bersuara dan sehingga menjadikan mereka lebih rela menjaga kerjaya.
Beberapa contoh yang berlaku menjadi teladan di mana golongan cendekiawan, sarjana dan pelajar telah dikenakan tindakan kerana kenyataan dan tindakan mereka yang dikatakan bercanggah dengan kehendak pihak berkuasa.
Pengguguran Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) dan sebagai dekan Falkuti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya dikatakan telah dibuat melalui campur tangan luar.
Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada Profesor Madya Dr Azmi Sharom, Pensyarah Undang-Undang dan Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaysia (PKAUM) yang didakwa di bawah Akta Hasutan. Bahkan lebih awal lagi, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pakar perlembagaan negara pernah digantung tugas, disiasat di bawah Akta Hasutan dan diberi tekanan agar melepaskan jawatan ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sebagai seorang mahasiswa di tahun tiga, Jurusan Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), saya melihat bahawa ahli akademik seharusnya diberi peluang untuk bebas berbincang, memberi pandangan, melakukan kajian atau memberi respon terhadap isu-isu semasa tanpa dipengaruhi atau dihalang mana mana pihak.
Bahkan ahli akademik seharusnya menjadi rujukan utama masyarakat awam apabila berdepan dengan sesuatu isu kerana pada asasnya mereka merupakan ahli dalam bidang yang mereka ceburi.
Melihat kepada cengkaman parti politik ke atas pentadbiran Institusi Pengajian Tinggi (IPT), ia menjadi membunuh jiwa pendidik dan mahasiswa yang ingin menyumbang kepada masyarakat kerana hak dan kebebasan mereka telah disekat.
Kegagalan pihak berkuasa membezakan antara hujah dan pandangan golongan ahli akademik ini akan mengganggu gugat prinsip professionalisme mereka seterusnya menghilangkan kepercayaan rakyat dalam jangka masa panjang.
Antara contoh peristiwa yang melibatkan mahasiswa pula seperti baru-baru ini, lapan mahasiswa Universiti Malaya (UM8) yang menganjurkan program “Pidato Anwar Ibrahim: 40 Tahun Dari UM ke Penjara” dikenakan pelbagai hukuman tatatertib termasuk digantung pengajian.
Terbaru, tiga Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah dipanggil oleh pihak Universiti atas tuduhan menyertai sebuah program anjuran We Unite For Islam(WUFI) iaitu “Pidato Umum:Jelajah Mahasiswa, Bebas Universiti,Kerajaan Mahasiswa” pada 7 November 2014 di luar kawasan UIAM.
Bahkan ruang-ruang untuk mahasiswa menyampaikan suara mereka juga disekat oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai ugutan-ugutan seperti Akta AUKU, Akta Hasutan dan sebagainya. Namun saya yakin, tindakan ini tidak akan melemahkan mahasiswa malah memberi semangat agar mahasiswa terus bangkit membawa suara masyarakat.
Bak kata pepatah, “kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”, begitulah juga ibaratnya mahasiswa, yang mana “kemana tumpahnya jasa dan budi kalau bukan kepada masyarakat”.
Mahasiswa sepatutnya diberi peluang yang seluasnya untuk sama-sama berada di pentas masyarakat dan melontarkan pandangan mereka.
Universiti yang secara umumnya merupakan institusi intelektual juga seharusnya berperanan untuk melahirkan sekelompok manusia yang mempunyai kemampuan berfikir yang tinggi dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Apakah dengan tindakan menggantung pengajian mahasiswa boleh menjadikan pelajar cemerlang?
Apakah mereka yakin jiwa lemah yang dipupuk melalui rasa takut akan menjadikan bangsa ini besar dan hebat? Saya ingin mengakhiri penulisan saya dengan sebuah puisi karya Usman Awang yang ditulis pada tahun 1961 yang khas saya tujukan kepada rakan-rakan mahasiswa agar bangkit meneruskan langkah perjuangan.
Mahasiswa dari kota tanah air
Bangunlah!
Angkat matamu dari buku
Lampaui dinding lampaui tembok
Semua menunggu
Mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota
Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
Sebaris dengan kami
Para buruh dan petani di jalan sungai besi
Sederap belajar dari hidup berani
Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
Atau bersamanya berjalan ke parlimen
Kerana dengan tenagamu dengan ilmu di dada
Akan merombak erti hidup sebuah Negara.
[Usman Awang, 1961]
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.