Followers

Tuesday, May 26, 2015

Ibu Tunggal Terima Rasuah RM29,000...??

Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM29,000 daripada dua beranak kononnya untuk membebaskan seorang ahli keluarga mereka yang ditahan atas kesalahan dadah, tiga tahun lalu.

Rohana Yaacob, 35, dari Kampung Bukit, Wakaf Bharu, Tumpat mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Adli Abd. Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, Rohana didakwa menerima wang suapan RM2,500 daripada Mohd. Amiero Roslan, 28, sebagai doro­ngan kepada pegawai polis untuk membebaskan adiknya, Muhammad Hafiz, 26, yang ditangkap atas kesalahan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 April 2012 di hadapan sebuah kedai serbaneka di Wakaf Bharu, Tumpat dekat sini.

Pada pukul 12 tengah hari, tiga hari selepas itu, Rohana yang be­kerja sebagai penjual air didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada ibu kepada kedua-dua beradik itu, Roslina Ariffin, 48, bagi tujuan sama di pekarangan Mahkamah Bachok.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa me­nerima rasuah RM10,000 daripada Roslina kira-kira pukul 10 pagi, 29 April 2012 di kawasan berhampiran Stesen Kereta Api Wakaf Bharu, Tumpat dan wang suapan RM3,000 lagi bagi tujuan sama kira-kira pukul 11 pagi, 2 Mei 2012 di pekarangan Mahkamah Bachok.

Pertuduhan kelima pula menyebut Roslina didakwa telah memberikan rasuah RM4,000 kepada Rohana di antara pukul 8.30 pagi dan 1 petang, 8 Mei 2012 di kawasan berhampiran Agro Bank, Jalan Padang Garong di sini.

Bagi pertuduhan keenam, tertuduh didakwa menerima wang suapan RM4,500 daripada wanita tersebut kira-kira pukul 5 petang, 16 Mei 2012 di hadapan sebuah ba­ngunan di Jalan Sultanah Zainab di sini.

Ibu kepada lapan anak itu didakwa mengikut Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk kesemua pertuduhan tersebut yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Rohana turut berdepan enam pertuduhan alternatif iaitu didakwa menipu Mohd. Amiero dan Roslina supaya mempercayai bahawa pegawai polis meminta wang suapan bagi menyelesaikan kes tersebut pada tarikh dan tempat yang sama dengan pertuduhan utama.

Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan alternatif itu yang dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun, sebat dan denda.

Mahkamah membenarkan Rohana dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan syarat dia dikehendaki melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.