Daripada terus bekerja dalam keadaan tidak dipercayai atau mungkin diminta mengundurkan diri selepas ini, pilihan terbaik bagi Pandikar Amin adalah menghantar semula surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri.
pandikar amin
PETALING JAYA : Kontroversi isu peletakan jawatan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sudah pasti menjejaskan hubungannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Shahbudin Husin berkata, tindakan Pandikar Amin yang berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad dan meluahkan hasrat untuk meletak jawatan telah melukakan hati Najib.
Katanya, perbuatan Pandikar Amin yang membelakangkan Najib sekaligus menjejaskan kepercayaan Perdana Menteri terhadap kredibiliti Pandikar Amin.
“Perdana Menteri tentu berkecil hati apabila mengetahui Pandikar Amin secara sembunyi-sembunyi dan mengadu pelbagai perkara kepada Dr Mahathir yang merupakan musuh utamanya.
“Sudah tentu timbul dalam pemikiran Najib, jika hal perabot pun diadukannya kepada Dr Mahathir, tentulah hal-hal lain yang lebih besar turut menjadi tajuk perbincangan yang dibawa oleh Pandikar Amin.
“Najib juga pastinya terguris hati kerana Pandikar Amin lebih dulu mengadu kepada Dr Mahathir mengenai peletakan jawatannya sedangkan beliau adalah Perdana Menteri yang melantiknya ke jawatan Speaker,” katanya dalam entri shahbudindotcom.blogspot.com.
Dia berkata, walaupun Pandikar Amin sehingga kini boleh kekal sebagai Speaker Dewan Rakyat, namun tidak mustahil Perdana Menteri mula mencari nama lain bagi menggantikan tempatnya disebabkan sikap ‘main dua kolam’ yang ditunjukkan oleh Pandikar Amin.
“Siapa pun berada di tempat Najib, kepercayaannya tentu saja sudah berkecai terhadap Pandikar Amin yang seolah-olah sudah ‘main dua kolam’ dengannya.
“Ketika Najib sudah beberapa kali berikrar tidak akan menyerah kalah atau tunduk kepada desakan Tun Mahathir yang memintanya agar berundur, sikap Pandikar Amin ini umpama duri dalam daging kepada kelangsungan hayat politiknya,” katanya.
Shahbudin berkata, daripada terus bekerja dalam keadaan tidak dipercayai atau mungkin diminta mengundurkan diri selepas ini, pilihan terbaik bagi Pandikar Amin adalah menghantar semula surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri.
Katanya, hanya dengan cara meletak jawatan Speaker Rakyat dapat memulihkan imej dan kredibiliti Pandikar Amin yang telah tercalar itu.
“Kalau pun tidak sepenuhnya, sisa-sisa rasa hormat kepadanya tetap ada jika beliau berani berbuat demikian berbanding terus berada di situ,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.