Followers

Monday, May 11, 2015

Dedahkan semua urus niaga badan berkanun dengan 1MDB, kata PKR


 


Orang ramai perlu tahu sejauh mana wang awam terlibat dalam urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk kenyataan terbuka berkaitan pegangan bon, pemberian pinjaman, pembelian tanah dan sebarang urus niaga yang pernah dirundingkan badan berkanun dengan 1MDB

Orang ramai perlu tahu sejauh mana wang awam terlibat dalam urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk kenyataan terbuka berkaitan pegangan bon, pemberian pinjaman, pembelian tanah dan sebarang urus niaga yang pernah dirundingkan badan berkanun dengan 1MDB.

PKR hari ini menuntut badan berkanun yang berurus niaga dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyenaraikan semua urusan mereka dengan dana pelaburan strategik negara yang sarat dibebani hutang itu, susulan laporan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) turut membeli sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB, selepas Lembaga Tabung Haji.

Setiausaha agungnya Rafizi Ramli berkata, orang ramai perlu tahu sejauh mana wang awam terlibat dalam urusan 1MDB, dan mahu kenyataan terbuka yang termasuk pegangan bon, pemberian pinjaman, pembelian tanah dan sebarang urus niaga yang pernah dirundingkan badan berkanun itu dengan 1MDB

Berita mengenai pembelian KWAP itu timbul selepas minggu lalu, sebuah blog mendedahkan Tabung Haji membeli plot tanah di TRX dari 1MDB pada harga RM188.5 juta.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga perlu mengarahkan supaya tanah yang diberikan kepada 1MDB dijual kembali kepada kerajaan persekutuan pada harga yang sama yang dibayar oleh 1MDB dahulu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengutuk sekeras-kerasnya keputusan tabung pencen negara itu, mengatakan walaupun pembelian tanah itu dilaporkan pada harga yang lebih murah daripada yang dibayar Tabung Haji, ia tetap satu lagi bentuk suntikan dana bagi menyelamatkan atau “bail out” 1MDB.

Rafizi berkata, selain Tabung Haji dan KWAP, beliau percaya 1MDB juga mengadakan perbincangan dengan agensi/badan pelaburan negara lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

"Sebarang penjualan kepada Tabung Haji, KWAP, KWSP, LTAT dan PNB perlulah dibuat terus daripada kerajaan persekutuan kepada agensi-agensi tersebut," katanya.

Rafizi juga menggesa Najib mengarahkan agar semua perjanjian dan kontrak melibatkan penjualan hartanah oleh 1MDB kepada agensi-agensi dana rakyat tersebut dibatalkan segera secara suka sama suka (mutual termination of contract).

Beliau juga mencabar Ketua Pemuda Umno merangkap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, menjadi suara dalam parti itu, menuntut ketelusan tersebut.

"Sekiranya beliau tidak mendapat jawapan yang memuaskan seperti yang dikehendaki (kenyataan terbuka badan berkanun), wajarlah beliau mengambil langkah berprinsip meletakkan jawatan daripada Kabinet," katanya.

Tabung Haji membeli tanah di TRX itu pada harga 43 kali ganda lebih tinggi daripada apa yang dibayar 1MDB ketika membelinya daripada kerajaan persekutuan tiga tahun lalu.

Manakala KWAP dilaporkan membeli tanah itu pada 30 kali harga pembelian asal.

"Keuntungan atas angin yang dikaut 1MDB ini akhirnya digunakan untuk membayar faedah-faedah bernilai ratusan juta ringgit yang terpaksa dibayar beberapa kali setahun, sedangkan dana asal yang dipinjam sebanyak RM42 bilion itu tidak diketahui ke mana perginya," katanya.

Rafizi berkata, KWAP sudah meminjamkan RM4 bilion kepada sebuah anak syarikat 1MDB pada tahun 2011 dan laporan kewangan terkini yang diaudit menyatakan, sejumlah RM3.1 bilion merupakan pelaburan yang juruaudit tidak mempunyai sebarang maklumat.

Beliau dipercayai merujuk kepada pinjaman yang dibuat kepada SRC International, yang ketika itu anak syarikat 1MDB, bagi tujuan pelaburan dalam perlombongan arang batu di Mongolia.

SRC kini diserap sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. – 11 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com. - 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.