Followers

Monday, May 4, 2015

BN akan menang di Rompin sebab penduduk terima GST- Hasan Malek - FMT Reporters


hasan-malek
Penduduk di Rompin menerima GST hasil penerangan yang baik dan penuh keikhlasan oleh BN yang telah menggunakan pendekatan cara orang kampung. 

ROMPIN: Penduduk di Rompin telah menerima baik pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Keyakinan itu disuarakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata, penduduk di Rompin menerima GST hasil penerangan yang baik dan penuh keikhlasan oleh BN menggunakan pendekatan cara orang kampung.

Hasan berkata, dengan penerimaan baik GST itu memberi keyakinan BN akan berjaya mengekalkan Parlimen Rompin.

“Saya yakin BN akan menang dan mempertahankan kerusinya. Terpulang kepada cara kita untuk menambah undi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Skim Bazar Ramadhan (SBR) 2015 di Kuala Rompin pada Ahad.

Mengulas lanjut penerimaan GST oleh penduduk di Rompin, Hasan berkata kesimpulan itu dibuat hasil tinjauan di beberapa kampung yang mendapati mereka telah menerima sistem pencukaian baharu tersebut.

“Saya mengakui pada peringkat awal, memang saya meragui dengan pelbagai cerita dan tomahan yang dibuat-buat, direka-reka untuk menunjukkan rakyat rasa gelisah dan risau.

“Tetapi apabila kita turun ke bawah, mereka dapat terima bahawa GST memudahkan mereka berurus niaga dan memberi keyakinan untuk pembangunan yang lebih pesat,” katanya.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.