Followers

Tuesday, April 21, 2015

Walaupun dia Cina, saya tidak mahu dia dipukul- Jannah - Mohamad Fadli

Soalan yang ditanya Cheng mungkin menimbulkan kemarahan, namun dia hanya menjalankan tugasnya sebagai wartawan untuk bertanya dan mendapatkan maklum balas.'

jannah
PETALING JAYA: “Saya hanya mahu setiap orang saling menghormati satu sama lain. Walaupun dia Cina, saya tidak mahu dia diserang, dimarah atau dipukul,” kata wartawan Sinar Harian, Janatul Firdaus Yaakob.

Janatul atau dikenali Jannah berkata, walaupun saling tidak mengenali tetapi atas dasar setiakawan sebagai rakan media, dia merasa bertanggungjawab untuk melindungi wartawan The Star, Nicholas Cheng.

Katanya, perbuatan peserta demo di Taman Medan pada Ahad lalu yang menengking Cheng tidak sepatutnya berlaku kerana wartawan itu hanya menjalankan tugas.

“Saya tidak nafikan soalan yang ditanya Cheng mungkin menimbulkan kemarahan, namun dia hanya menjalankan tugasnya sebagai wartawan untuk bertanya dan mendapatkan maklum balas,” katanya kepada FMT.

Jannah mendapat pujian ramai di laman sosial selepas wartawan The Star itu memuatnaik statusnya di Facebook yang menceritakan bagaimana dia ‘dilindungi’ oleh seorang wartawan wanita Islam yang hanya dikenali sebagai Jannah.
Cheng menceritakan dia merasa sangat cemas apabila dikerumun oleh peserta demo yang membantah sebuah gereja memasang tanda salib tetapi dilindungi oleh Jannah dan wanita itu menemaninya sepanjang temubual dijalankan.

“Awak ikut saja saya dan jangan pergi jauh,” pesan Jannah seperti dilaporkan Cheng.

Menceritakan kejadian itu, Jannah yang telah empat tahun bertugas sebagai wartawan berkata, suasana ketika itu agak tegang apabila setiap soalan yang ditanya oleh Cheng akan ditengking oleh peserta demo.


“Saya faham penduduk di situ marah tetapi mereka tidak sepatutnya melepaskan kemarahan kepada Cheng yang hanya datang sebab bertugas. Itu bukan budaya Melayu dan bertentangan dengan ajaran Islam,” tegas anak kelahiran Kedah itu.

Jannah berkata, dia menemani Cheng sehingga ke kereta selepas selesai tugasan kerana sedih dengan permintaan lelaki itu supaya menelefon polis sekiranya dipukul oleh peserta demo.

“Saya rasa bertanggungjawab sekiranya dia dipukul oleh orang seagama dan sebangsa dengan saya sedangkan dia tidak bersalah,” katanya.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.